Motosikal

YAMAHA NVX 155 AKAN DILANCARKAN SEAWAL BULAN JUN – 3 VARIAN PILIHAN

Ini berita terbaru yang kami perolehi dari dua sumber berbeza. Dari informasi yang diterima, indikasi menunjukkan yang model skuter Yamaha NVX 155 akan dilancarkan seawal bulan Jun nanti. Ia sepatutnya diperkenalkan awal, namun atas beberapa faktor, pelancarannya ditangguhkan.

Kita sedia maklum bahawa pasaran motosikal di Malaysia sangat kecil jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina. Dibandingkan dengan Indonesia, pasaran Malaysia cuma 10 peratus sahaja dari jumlah keseluruhan industri. Lebih unik lagi, kita lebih banyak menjual moped berbanding skuter di sekeliling jiran negara ASEAN.

BACA: YAMAHA INDONESIA LANCAR YAMAHA AEROX/NVX155

BACA: ROSSI PERKENAL NVX DI LITAR SEPANG

Ini adalah percaturan besar yang perlu dibuat oleh Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) untuk memposisikan NVX 155 dengan betul. Sedia maklum, mereka juga mempunyai skuter lain seperti Ego Solaris, Avantis, Ego S, Ego LC dan sudah tentu, saingan “dalam rumah” sendiri iaitu NMAX di mana model NVX ini diasaskan.

Yamaha NVX spesifikasi Indonesia

Kajian pasaran dan ujian lapangan model sudah hampir lengkap sepenuhnya. NVX hanya menunggu masa untuk dilancarkan. Menurut sumber kami juga, berkemungkinan besar HLYM akan memperkenalkan tiga varian berbeza.

Tidak ada maklumat lanjut. Namun jika dilihat pada pasaran luar, tiga model utama ialah NVX 155 VVA sebagai model paling asas, NVX 155 R dan NVX VVA S. Di bawah adalah perinciannya:

NVX 155 VVA – model paling asas (dan sepatutnya paling murah). Bagi model ini, ia sudah dilengkapi lampu LED dan bentangan instrumentasi digital penuh 5.8 inci.

NVX 155 R – juga didatangkan dengan lampu LED dan bentangan instrumentasi digital penuh 5.8 inci. Spesifikasi ketara ialah suspensi belakang dengan tank sekunder (sub tank) – teorinya, suspensi lebih sporty dan lebih baik (atau mungkin boleh dilaras?)

NVX 155 S – Model tertinggi yang ada semua spesifikasi di asas (kecuali sub tank). Ciri yang kelihatan dominan ialah sistem kemasukan/pemula tanpa kunci (keyless) dan sistem brek anti kunci (ABS). Teori kami – ini model yang akan dijadikan premium dan mungkin dipakaikan dengan livery Movistar (atau MotoGP).

Sebenarnya, banyak varian yang diperkenalkan di pasaran luar. Vietnam misalnya menawarkan semua sembilan varian, Thailand enam, Indonesia enam dan Filipina tiga – ini mengikut perancangan asal bagi pasaran Yamaha Motor Jepun khusus model ASEAN.

Apa yang lebih aneh, NVX dipertontonkan buat kali pertama di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu. Walaupun kita sebagai tuan rumah menyambut kedatangan NVX/AEROX tahun lepas, tapi kita sahaja yang belum menerimanya.  Vietnam dan Thailand sudah dilancarkan, Indonesia laku keras, manakala terakhir Filipina pada awal bulan ini.

GALERI

 

Tags
Google ads
Back to top button