Buletin

MAZDA2 FACELIFT 2020. APPLE CARPLAY, ANDROID AUTO & GVC PLUS. RM103,670 SEUNIT

Senyap-senyap sahaja, Bermaz Motor melancarkan Mazda2 facelift 2020 ke pasaran tempatan.

Hadir dalam varian hatchback dan sedan, jentera tersebut ditawarkan pada harga RM103,670 (di atas jalan tidak termasuk insurans). Ini merupakan kenaikan sebanyak RM9,000 berbanding model lama.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, sekali pandang versi facelift itu seakan-akan tidak menerima perubahan ketara. Tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, Mazda2 2020 sebenarnya kini dipasang dengan gril krom lebih lebar, rekaan gril radiator  mesh berwarna hitam.

Ia juga tampil dengan lampu utama yang telah direka semula, selain sepasang kemasan krom pada bahagian bawah bampar hadapan. Kemasan sama dipasang pada bahagian belakang, bersama plastik hitam matte.

Versi sedan pula dilengkapi bampar dengan rekaan lebih agresif menerusi kemasan krom lebar. Kedua-dua varian itu juga hadir dengan rim aloi bersaiz 16 inci rekaan baharu.

Mazda2 masih menggunakan khidmat enjin aspirasi biasa SKYACTIV 1.5G berkuasa 114hp dan tork 149Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik dan kuasa disalurkan ke roda hadapan.  

Di ruang kabin, apa yang paling menarik ialah Mazda2 kini dilengkapi ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Selain tempat duduk dibalut upsholteri kulit berwarna biru/kelabu.

Mengekalkan rekaan yang cantik dan minimalis, ruang itu juga dipasang dengan head-up display (HUD) berwarna, paddle shifter, sport mode dan sistem infohibur Mazda Connect bersama skrin bersaiz tujuh inci serta Commander Control.  

Penambahan lain ialah sistem G-Vestoring Control Plus (GVC Plus) yang berfungsi menambah baik maklum balas tork enjin, input stereng dan sebagainya.

Ciri keselamatan standard ialah dua beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Cengkaman dengan DSC,  Emergency Brake Assist, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist dan ISOFIX.

Dengan harga yang premium untuk sebuah jentera segmen B, Mazda2 hadir bersama jaminan, perbatuan sejauh 100,000km dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

Jika mahukan warna merah (Soul Red) ini, anda perlu menambah RM500 lagi. Pilihan lain yang ada termasuklah kad SD navigasi untuk sistem infohibur berharga RM1,270 dan RM1.9k bagi tinted keselamatan.

GALERI

Google ads
Back to top button