Buletin

McLAREN KERUSI DI TENGAH BAKAL KEMBALI, KELAJUAN LEBIH 391 KM/J!

Walaupun prestasi pasukan McLaren kurang menjadi dalam perlumbaan Formula 1, itu tidak bermakna perkembangan dalam bisnes automotif terbantut. Pepatah popular yang mengatakan menang pada Ahad dan laris pada Isnin nampaknya tidak terpakai buat McLaren.

McLaren dari hari ke hari semakin popular dengan model-model kereta super yang hebat. Dari segi jumlah model, McLaren masih lagi jauh jika dibandingkan dengan pengeluar lain seperti Ferrari atau Lamborghini dan walaupun begitu, model yang dihasilkan pengeluar British itu senang untuk lekat di minda pengikut atau penggemar dunia automotif.

Jika pengeluar lain menghasilkan kereta super dengan dua tempat duduk, McLaren mengeluarkan kereta super ikonik dengan tiga tempat duduk di mana kerusi pemandu berada di tengah.

Siapa boleh lupakan McLaren F1 yang tampil tersendiri dan kini pada harga yang berlipat kali ganda?

Jika ada yang mahu melihat kembali kereta dengan konfigurasi tempat duduk unik sebegitu, bergembiralah kerana McLaren Automotive telah mengesahkan sebuah model Hyper-GT dengan kod nama BP23 akan dihasilkan.

Sama seperti McLaren F1, model BP23 itu akan dibekalkan dengan tiga tempat duduk dan lebih mengujakan apabila kelajuan maksimumnya bakal menjangkaui 391 km/j melebihi rekod yang dipegang McLaren F1.

Pengesahan pengeluaran model itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Automotive, Mike Flewitt semasa sidang akhbar Pameran Kenderaan Geneva. Model itu juga bakal dipertontonkan kepada umum buat pertama kali pada tahun ini.

Model itu diletakkan di bawah edisi McLaren Ultimate Series dan ia bukan sahaja paling laju (dan paling banyak kerusi) tetapi juga model McLaren paling mewah.

Kereta hiper ini dijanakan oleh nadi kuasa hibrid petrol-elektrik dan tampil dengan gabungan prestasi ekstrem dan kemewahan menjadikan ia sensasi sebuah kereta jalanan McLaren.

Satu lagi perkara menarik tentang kereta ini ialah atau jika ada yang berkenan untuk membelinya, harap maaf.

McLaren hanya menghasilkan sebanyak 106 unit BP23 (jumlah sama seperti McLaren F1) dan kesemua stok telah habis dijual sebelum ia diumumkan secara rasmi pada November 2016.

Ini memang projek yang lama. Sudahlah habis dijual malah kereta hiper ini hanya akan mula dikilangkan bermula hujung tahun depan. 

Kesemua 106 BP23 akan tampil dengan kemasan tersendiri mengikut selera pemiliknya dan tugas ini akan dilaksanakan oleh McLaren Special Operations (MSO).

BP23 masih belum mempunyai nama rasmi dan berbeza dengan tradisi namaan model McLaren Sports Series dan Super Series yang menggabungkan abjad dan huruf, model hiper ini akan menggunakan nama khas dan disusuli oleh angka kelajuan maksimum.

Berapakah harga kereta hiper-GT ini? Biasa sahaja, hanya GBP 1.6 juta termasuk cukai atau bersamaan RM 8.66 juta sahaja boh!

Google ads
Back to top button