
MCLAREN PERTIMBANG CAGAR KILANG DAN KOLEKSI BERSEJARAH UNTUK DAPATKAN DANA
McLaren dilapor sedang menimbang untuk mencagar koleksi jentera lumba ikonik, kilang dan ibu pejabatnya, McLaren Technology Centre di Woking, United Kingdom dalam usaha mendapatkan dana.
Sama seperti pengeluar kenderaan lain, kewangan McLaren kini dilihat tenat berikutan penularan wabak COVID-19 apabila jualan kenderaan dan perolehan pengiklanan daripada pasukan Formula 1 terjejas teruk.
McLaren Group terdiri daripada tiga divisyen iaitu pasukan F1, operasi supercar dan penyelidikan teknologi.

Perolehan kumpulan naik 18 peratus kepada £1.4 bilion (RM7.37 bilion) tahun lalu. Lebih 90 peratus kereta McLaren diekskport. Selain ibu pejabat di Woking, McLaren turut memiliki sebuah pusat material komposit di Sheffield.
Pinjaman sebanyak £300 juta (RM1.58 bilion) dikatakan boleh diperoleh daripada kemudahan di Surrey dan koleksi kereta tersebut.
Antara kereta yang dipamerkan di sana termasuklah jentera lumba IndyCar, Can-Am, Le Mans dan F1 yang pernah dipandu oleh pelumba lagenda, Ayrton Senna serta ramai lagi.
Ia akan dibayar semula sebaik sahaja perlumbaan F1 dimulakan semula dan jualan kenderaannya kembali rancak.