
MITSUBISHI BAKAL PERKENALKAN SUV KOMPAK BAHARU UNTUK PASARAN ASEAN – TAK LAMA DAH NI
Mitsubishi baharu sahaja umum yang mereka akan perkenalkan SUV kompak baharu untuk rantau Asia Tenggara. Tengokla gambar teaser yang disertakan. Rupa paras yang agresif dan disertakan dengan sistem audio Yamaha. Model ini dikatakan model produksi berdasarkan konsep XFC dan akan dipekenalkan buat pertama kali di Gaikindo Indonesia International Auto Show.

Mitsubishi kemungkinan juga akan tawarkan model Renault direbadge semula di Eropah termasuklah ASX (Renault Captur) dan model Colt baharu (Renault Clio) tapi dengan strategi yang berbeza untuk pasaran Asia Tenggara. Gambar yang disertakan lebih menyerupai model konsep yang ditunjukkan pada Oktober 2022. Tengok sajalah lampu LED split, gril besar dan garisan bonetnya.
Antara ciri paling menarik semestinya sistem audio “Dynamic Sound Yamaha Premium” dengan beberapa unit pembesar suara 2-hala Coaxial dan tweeter yang akan memberikan alunan muzik yang berbeza untuk halwa telinga anda. Silap-silap dengan lagu asli pun jadi tak mengantuk.

Mitsubishi mendakwa yang kenderaan yang masih belum bernama ini akan diberikan gaya SUV, praktikal dan selesa selain mempunyai ruang kabin dan ruang bagasi yang luas. Ia juga mampu menangani keadaan muka bumi yang tidak rata dan permukaan jalan yang ditenggelami air. Memang ciri negara Asia Tenggara betul kan?
Enjinnya? Berdasarkan makluman awal ia bakal dikuasakan enjin ICE dan bukannya hibrid ataupun EV kerana maklum sajalah perkembangan elektrifikasi di rantau ini memang tidak selaju benua Eropah.
Nantikan maklumat lanjut mengenai SUV kompak ini dalam sedikit masa lagi. Sementara tu korang boleh jamu mata dulu dengan video model konsep XFC ni. Mungkin ia tidak sama seratus peratus tapi biasanya tak lari jauh. SUV ini akan menjadi satu daripada enam model baharu yang akan diperkenalkan Mitsubishi sepanjang tahun 2023 ini.








