
MITSUBISHI MULAKAN PEMASANGAN CKD XPANDER DI PEKAN
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa crossover XPANDER sudah mula dihasilkan secara rasmi di saluran pengeluaran di kilang HICOM Automotive Manufacturers di Pekan, Pahang.
Saluran pengeluaran tersebut direka untuk menghasilkan 6,000 unit XPANDER setahun. Malaysia merupakan negara ketiga yang menjalankan program CKD jentera tersebut selepas Indonesia dan Vietnam.
MMM juga telah melabur untuk membina kemudahan Body Shop, Painting Jigs dan Tester Line di sana. XPANDER akan melalui proses Pra-Rawatan dan Deposisi elektro di dalam sebuah tangki salutan ED di salah sebuah kemudahan mengecat paling canggih di ASEAN.
Lapisan asas itu dicat oleh sistem robotik, sebelum dikeringkan di dalam sebuah ketuhar. Kemudian, XPANDER akan dicat sekali lagi dengan beberapa lapisan untuk memberikan kemasan terbaik.

Juruaudit bertauliah Mitsubishi Motors Corporation (MMC) akan berada di kilang pemasangan bagi memastikan standard serta kualiti produksi global Mitsubishi global dipatuhi.
“XPANDER merupakan model penting untuk MMM dan kami yakin ia akan diterima baik oleh pengguna di Malaysia. Langkah untuk memasang XPANDER di sini adalah untuk memenuhi kehendak pengguna tempatan.
“Kami juga mahu menawarkan model pada harga kompetitif bersama spesifikasi yang lebih baik. Kami memberi jaminan bahawa setiap unit XPANDER akan melalui ujian kawalan kualiti yang ekstensif sebelum dikeluarkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.
Sejak dilancarkan di Indonesia, XPANDER dan XPANDER CROSS nyata menerima maklum balas positif daripada pasaran. Sehingga September 2020, jumlah jualannya mencecah 270,000 unit.
XPANDER dijadual dilancarkan di Malaysia pada November 2020.
- BACA: MALAYSIA TERIMA XPANDER SPECS PALING TINGGI – CEO MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA
- BACA: MITSUBISHI DEDAH SPESIFIKASI PENUH XPANDER. 1 VARIAN SAHAJA, 1.5L MIVEC, BOLEH DITEMPAH SEKARANG
- BACA: MITSUBISHI HENTIKAN EKSPORT SUV KE EROPAH. TIADA LAGI OUTLANDER, ASX DAN ECLIPSE CROSS
- BACA: TUTUP KILANG, MITSUBISHI BAKAL TAMATKAN PRODUKSI PAJERO TAHUN 2021