Buletin

MODEL GANTIAN LAMBORGHINI AVENTADOR AKAN GUNA ENJIN V12 SERBA BAHARU

Selepas 10 tahun diproduksi, Lamborghini akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Aventador dengan enjin V12. Jangan sedih dulu kerana Lamborghini tidak mengabaikan sepenuhnya enjin V12 itu. Sebaliknya, pengeluar kenderaan tersebut sedang sibuk membangunkan enjin serba baharu.

Pada Julai 2021, Lamborghini memperkenalkan Aventador Ultimae yang menjadi model terakhir Aventador. Ia dikuasakan oleh enjin V12 6.5 liter yang mampu menjana kuasa 770hp dan tork 720Nm. Untuk makluman, enjin L539 V12 dibina khas untuk pelancaran Aventador dan merupakan enjin V12 serba baharu kedua yang digunakan oleh Lamborghini. 

Sebelum L539, semua enjin V12 yang digunakan adalah evolusi daripada enjin Bizzarini V12 yang direka oleh Giotto Bizzarini pada tahun 1960-an. Enjin yang mulanya bersesaran 3.5 liter V12 pada tahun 1963 akhirnya menjadi 6.5 liter V12 dan turut dipasang pada Murcielago LP 640. 

Enjin V12 baharu itu merupakan generasi ketiga dalam sejarah Lamborghini. “Teknologinya berbeza. Enjin, transmisi, bateri dan rangkaian kuasa semuanya serba baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann. 

Enjin generasi baharu Lamborghini itu akan menawarkan keterujaan enjin aspirasi biasa V12 bersama sistem hibrid. Kombinasi unik tersebut menggabungkan teknologi yang membolehkan enjin V12 terus hidup. 

Google ads
Back to top button