
MODEL MAINAN BANTU NISSAN DAPATKAN KEMBALI HAK JENAMA SKYLINE DARI FORD
Dua tahun lepas Ford telah memfailkan hak tanda niaga untuk nama “Skyline” dengan US Patent Office dan berjaya mendapatkannya. Sebagaimana kita semua tahun, nama Skyline ni memang cukup sinonim dengan Nissan dan sudah tentu pengeluar GT-R ini tidak akan berdiam diri. Akhirnya bulan lepas mereka berjaya mendapatkan hak tersebut kembali dengan bantuan sebuah model mainan diecast.

Walaupun mereka tidak mendaftarkan tanda niaga tersebut terlebih dahulu, Nissan masih berhak menuntutnya kembali tetapi mesti disertakan dengan bukti yang mereka telah terlebih dahulu menggunakan nama tersebut. Ford memfailkan tanda nama Skyline pada Julai 2021 di bawah kategori kereta motor: SUV, trak dan automobil yang kemudian diluluskan. Sebulan kemudian Nissan bertindak balas dengan cara mereka sendiri. Hak nama Skyline untuk kategori “kereta model, kereta mini, kereta mainan”.
Nissan turut melampirkan sekeping gambar kereta model R34 sebagai sokongan. Lebih kelakar bila ia cuma sebuah model 25GT-X Turbo sedan dan bukannya GT-R pun. Gambar pun nampak macam diambil di atas meja salah seorang kakitangan Nissan kot. Kenapa kategori kereta mini? Sebab Nissan sendiri pun menjual berjuta unit kereta mainan Skyline mereka di AS.

Paten ini ditemui oleh laman web Carbuzz yang percaya Nissan akan berjuang untuk merebut kembali paten nama Skyline dalam kategori kenderaan bermotor. Permohonan untuk kereta mainan Skyline diluluskan pada Ogos 2022. Carbuzz berpendapat Ford sendiri sedar yang tuntutan Nissan akan merumitkan keadaan jika mereka terus menggunakan nama Skyline. Ford kemudian menggugurkan hak tanda niaga Skyline pada September 2022.

Nissan membuat permohonan susulan dalam hampir sebahagian besar lagi kategori. Mereka turut mendaftarkan hak dalam pelbagai kategori automotif antaranya:
- Alat ganti kenderaan bermotor: emblem, emblem bercahaya, penutup injap dan emblem pada penutup injap.
- Alat ganti kenderaan bermotor: kit gasket enjin, pam air, komponen oil pan, penutup pam minyak dan yang berkaitan dengannya.
- Alat ganti kenderaan bermotor: suis lampu utama.
- Alat ganti kenderaan bermotor: spoiler, adapter gasket, kit klac, kemasan sisi badan, pek coil dan segala macam mak nenel lagilah. Getah weatherstrip pintu pun ada dimasukkan sekali.
Permohonan ini disertakan sekali dengan gambar penutup injap RB26DETT untuk membuktikan kegunaannya. Cuma yang peliknya Nissan menyatakan yang mereka kali pertama menggunakan nama Skyline pada 31 Disember 2014 sedangkan mereka sebenarnya sudah menggunakan nama ini sejak 1957 di bawah syarikat Prince. Apa pun Nissan akhirnya diberikan hak untuk semua kategori yang dimohon pada March 2023.
Akhir sekali pada Februari 2023 hak paten nama Skyline diserahkan kepada Nissan sepenuhnya termasuklah kategori kenderaan bermotor: automobile, kenderaan elektrik, trak, van, SUV, kereta sports, kereta lumba, kenderaan konsep, bersejarah dan vintaj.

Nampak Nissan kini memandang serius tentang hak paten dan berusaha keras untuk memastikan nama Skyline kekal menjadi milik mereka selamanya. Nasib baik la Ford tak sempat guna nama Skyline. Rasa-rasa kat mana diorang nak pakai nama Skyline tu? Takkan Ford Ranger Skyline Edition kot?



