Motosikal

MODENAS SAH PERKENALKAN DOMINAR400 AWAL TAHUN DEPAN – HARGA BAWAH RM20K?

Pengeluar motosikal tempatan, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengesahkan bahawa ia akan membawa masuk satu lagi jentera menarik ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Motosikal street bike Dominar400 akan menjadi model keempat dipasarkan oleh Modenas, hasil kerjasamanya dengan pengeluar motosikal berpengaruh dari India, Bajaj Auto Ltd (BAL).

Pada Mei lalu, motosikal keluaran Modenas dilihat kembali mendapat perhatian pengguna apabila ia menawarkan model café racer V15, naked Pulsar NS200 dan jentera sport Pulsar RS200.

Persoalan utama yang pasti bermain di fikiran semua ialah berapakah harganya. Modenas Dominar 400 yang akan ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan ini dijangka dijual pada harga bawah RM20,000.

Murahnya, biar betul? Kalau dilihat kepada penetapan harga tiga model sebelum ini (V15, Pulsar NS200 dan Pulsar RS 200) harga yang sangat kompetitif itu memang tidak mustahil.

Apatah lagi, sudah menjadi matlamat Modenas untuk menjadikan model keluarannya dapat dimiliki oleh lebih ramai pengguna.  

“Kami kini berada dalam persiapan terakhir untuk memperkenalkan Dominar400. Saya harap orang ramai akan bersabar dan terus memberi sokongan kepada Modenas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir.

Saya sempat menunggang uji motosikal yang berkongsi dengan enjin KTM Duke 390 ini di litar ujian di kilang Bajaj di Chakan, Pune India.

Saya boleh katakan bahawa motosikal ini mampu memenuhi keperluan pengguna yang baru hendak bermula menunggang motosikal berkuasa tinggi. Ia bukan sahaja ringan dan mudah dikendalikan, malah cukup sesuai untuk mereka yang berketinggian sederhana.

Sempat lagi nak kumpul duit dan ambil lesen B full ni..

Google ads
Back to top button