Modifikasi

MITSUBISHI PAJERO SWB

Kalau teringat tentang kereta rali keluaran Mitsubishi, mesti kita semua akan terbayangkan model Evolution sahaja atau Mitsubishi Galant VR4 yang pernah dipandu oleh Tengku Mahalel dalam Rali Malaysia satu masa dahulu.

Kita sebenarnya terlupa bahawa ada satu lagi jentera rali paling hebat yang pernah dikeluarkan oleh Mitsubishi. Ia bukan kereta, sebaliknya sebuah SUV pacuan empat roda (4X4).

Pajero. Ya! Pajero. Kenderaan yang selalu boleh dilihat di Felda, lebuh raya dan  kem-kem tentera itu sebenarnya pernah dijadikan jentera rali untuk perlumbaan  paling mencabar di dunia iaitu Paris-Dakkar Rally.

Inilah jentera rali paling berjaya dalam perlumbaan tersebut. Ia mampu  menjuarainya buat kali pertama pada tahun 1985 dan memenangi perlumbaan sama sebanyak 15 kali sejak itu!

garaj - pajero3

Namun begitu, harus tahu bahawa Pajero yang menyertai perlumbaan rali tersebut bukanlah Pajero wagon yang digunakan oleh pasukan peronda lebuh raya. Tetapi versi lebih pendek dengan tiga pintu.

Model itu memang agak sukar ditemui. Kalau ada pun, mungkin di kawasan FELCRA atau FELDA. Itu pun kira-kira 20 tahun alu. Ramai juga yang tidak tahu bahawa model tiga pintu itu sebenarnya ialah model asal Pajero sejak dikeluarkan pada tahun 1982.

Model wagon lima pintu hanya dikeluarkan pada tahun 1983 selepas maklum balas pasaran untuk SUV tiga pintu tidak begitu memberangsangkan. Pada ketika itu, orang membeli SUV untuk membawa keluarga atau kargo, jadi model ‘sport’ SUV tiga pintu tidak berapa laku.

Pajero ini dikenali sebagai Pajero SWB, singkatan untuk Short Wheelbase. Ketika mula-mula dijual dahulu, Pajero ini merupakan satu revolusi baru dalam industri kenderaan pacuan empat roda di Jepun.

Ini kerana ia menjadi model antara yang terawal menggunakan enjin diesel turbo. Selain sistem gantungan double wishbone untuk roda hadapan, stereng kuasa dan tempat duduk dengan sistem spring yang membuatkan kenderaan pacuan empat roda ini setanding dengan keselesaan sebuah kereta saloon.

Jadi, memang sangat beruntung pemilik Pajero SWB ini yang berjaya mendapat kereta rare sebegini. Rata-rata pembeli Pajero model itu membelinya daripada tender kerajaan. Tetapi pemiliknya membeli kereta ini daripada pasaran terbuka. Kira memang bernasib baik kerana model sepertinya tidak banyak yang hendak dijual. Kalau ada pun, harganya boleh tahan mahalnya, lebih kurang RM30,000 seunit.

garaj - pajero4

Oleh kerana sepanjang hayat kereta seperti ini telah digunakan dengan cukup lasak, kerja-kerja restorasi badan dan kerangka adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Mungkin ramai yang tidak tahu, bukan seperti kereta, badan (body) SUV dengan cesi jenis ladder frame seperti ini sebenarnya boleh disalin sekali gus.

Itulah kelebihan main SUV. Badan berspesifikasi Japan Domestic Market (JDM), lengkap dengan bahagian dalamannya boleh dibeli sekali gus daripada kedai potong. Badan itu kemudian dipasang pada kerangka menggunakan beberapa skru dan boleh diangkat sepenuhnya daripada kerangka berkenaan.

Hendak mencari badan baru sebenarnya bukan satu masalah besar. Sebabnya, model SWB agak mudah didapati di negara asalnya, Jepun. Paling menarik, kebanyakan Pajero di sana langsung tidak pernah jumpa lumpur. Jadi, badannya jarang berkarat dan bahagian dalamannya masih berada dalam keadaan yang sangat baik.

Badan baharu itu hanya perlu dicat dengan cat baharu. Sekelip mata, Pajero yang usang kini sudah jadi baru semula. Bahagian dalamannya pun sudah cantik dan paling saya suka ialah pemain kaset dengan kotak penyimpan kaset yang masih berfungsi. Anda tidak akan jumpa aksesori itu dalam mana-mana Pajero lain.

garaj - pajero1

Stereng tiga jejari yang digunakan ialah stereng model facelift Pajero tahun 1991. Ia nampak lagi moden berbanding stereng rim nipis yang digunakan pada model 1985.

Bagaimana pula dengan enjin? Baiklah. Pajero ini didatangkan dengan enjin diesel turbo paling berkuasa dalam keluarga Pajero iaitu 4D56. Konfigurasi enjin tersebut ialah SOHC dengan empat silinder sebaris, dipasang dengan sebuah turbin yang disejukkan oleh intercooler jenis top mount.

Kalau anda hendak tahu, enjin disel turbo yang dipasang pada Pajero ada banyak jenis. Model ini menggunakan enjin paling besar dengan sesaran 2,500cc. Namun begitu, kuasa yang dijana oleh enjin tersebut tidaklah sebesar mana, cuma 104hp sahaja. Tetapi daya kilas (tork) yang mampu dihasilkan adalah 240Nm.

Digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan buatan Aisin bersama ciri transfer gear, Pajero SWB ini rasanya tidak akan jumpa lumpur lagi. Sebaliknya lebih banyak digunakan untuk melanggar lopak dan lubang (dan kadang-kadang banjir) atas jalan raya kita.

garaj - pajero5

Rim Deerfield bersaiz 16 inci dengan offset -6 dan tayar Dunlop AT (all terrain) bersaiz 245/70/16 menjanjikan gaya. Jika perlu, boleh membawa Pajero ini meredah lumpur.

Tidak ada modifikasi melampau lain yang dibuat. Suspensinya pun masih standard. Tetapi standard spesifikasi JDM kerana menggunakan kebanyakan barang dari Jepun. Keistimewaan Pajero ini terletak pada badannya yang memang susah untuk dijumpai, selain kondisinya yang cukup terpelihara walaupun telah berusia hampir 30 tahun. Teringin pulak hendak layan Pajero.  Ada siapa-siapa nak beli Skyline R31 saya?

[hr]

 Spesifikasi Mitsubishi Pajero SWB

Enjin: 4D56 2,500cc diesel turbo

Kotak gear: Standard empat kelajuan automatik dengan transfer gear 4WD

Sistem Gantungan: Standard Pajero JDM

Rim / Tayar: Deerfield 16 x 8.5” offset -6 / Dunlop AT 245/70/16

Luaran: Pajero SWB versi JDM, cat hitam metalik

Dalaman: Pajero SWB versi JDM

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button