Artikel Pilihan

NISSAN SKYLINE GT-R R34 BAKAL DILAHIRKAN SEMULA – BIAR BETUL NI

Betul, memang tak tipu punya tapi produk ni bukannya dari Nissan tapi dari sebuah syarikat yang dinamakan Artisan Vehicle Design dan mereka telah berkongsi projek terbaru mereka. Ia adalah Nissan Skyline GT-R R34 yang diberi make over secara total dan akan dipasarkan kepada sesiapa yang berminat. Hanya 36 unit akan dikeluarkan dan penghantaran akan dimulakan tahun 2024.

Mereka menyatakan keseluruhan bahagian badan R34 ‘baharu’ ini akan dihasilkan dari serat karbon. Ia bukannya sesuatu yang senang untuk dilakukan kecuali jika anda ialah Horatio Pagani. Tapi kalau mereka berjaya melakukannya, ia akan menjadi satu produk yang hebat dan bernilai tinggi. Kami bercakap dengan serat karbon berkualiti tinggi dan bukannya yang dipasarkan di kedai ah beng tu.

Dua varian bakal diperkenalkan dan mereka menggelarnya Track Package dan Ultimate Package. Buat masa sekarang kami pun tak tahu perbezaan antara keduanya tapi berdasarkan imej yang didedahkan, kebanyakan bahagian luaran telah direka semula. Bahagian lampu utama dan belakang kelihatan memang menyerupai R34 GT-R.

Kelihatan skup kemasukan udara pada bahagian tiang-B yang menyerupai Porsche 718 Cayman. Di bahagian kiri dan kanan cermin belakang pula terdapat ruang keluaran udara yang kami tak faham fungsinya. Apa yang disejukkan kerana enjin R34 ini berada di bahagian depan? Tak juga fungsi sejukan tambahan untuk enjin atatupun brek.

Bahagian dalaman juga sarat dengan elemen serat karbin di mana-mana. Baik pada bahagian papan pemuka, konsol tengah, panel sisi pintu dan macam-macam lagi. Cuma satu je kami menyampah, dah kenapa pula kena ada touch screen besar gedabak ala Tesla kat tengah-tengah tu. Ini kereta sport tahu, bukannya kereta peronda polis New York yang nak kena ada laptop bagai untuk memeriksa butiran saspek.

Butiran lain belum didedahkan tapi kami jamin yang sebaik sahaja projek ini disiapkan harganya memang tak murah. Harga R34 terpakai pun dan jauh dari mampu milik ini kan pula model yang dah direka semula macam ni.

Tapi antara kita kami lebih rela pakai R34 standard daripada model yang dah kena pembedahan kosmetik macam ni. Lampu depan dengan LED berjalur tiga tu nampak macam produk aftermarket. Dari jauh silap-silap boleh salah sangka ingatkan Proton X50 dengan LED ala penunjuk bateri telefon pintar.

Google ads
Back to top button