Motosikal

MOTOGP VERSI KAPCAI – MODIFIKASI “GILA” HONDA RS150R

Mulanya, saya lihat foto motosikal ini dikongsi oleh seorang rakan di laman sosial. Dalam masa beberapa hari sahaja, ia menjadi viral dan semakin banyak fotonya didedahkan. Ketelitian dalam modifikasi Honda RS150R ini memang tak perlu dipersoalkan lagi. Ia kelihatan seperti sebuah model “soup-up” keluaran kilang!

Kemudian saya mencari sumbernya. Setelah menyelidik, ia rupanya datang dari Vietnam. Lebih tepat lagi, dari sebuah pengedar motosikal Honda dari daerah Binh Duong dan di sebalik projek ini ialah seorang individu super-kreatif bernama Encik Quang.

Motosikal ini diinspirasikan dari jentera perlumbaan MotoGP. Secara teori, membina sebuah sportbike berasaskan sebuah casis underbone adalah sesuatu yang mustahil. Namun dalam kes RS150R yang dikenali dengan nama Honda Winner di Vietnam, ia sedikit berbeza.

Kelebihan tayar bersaiz 120 di belakang dari kilang membenarkan bukaan lengan ayun yang lebih besar. Ia memungkinkan dipadan dengan lengan ayun jenis single-arm. Saya percaya, mungkin ramai yang dapat meneka ia datangnya dari NSR 150SP Pro-arm.

Sebenarnya, pada peringkat awal projek, Encik Quang cuba memadankan lengan ayun Ducati Panigale 1199. Namun kesukaran memadankan hub dan juga saiz kelongsong tengah menyukarkan penyesuaian di buat. Lalu, pilihan lain dilakukan dengan menempatkan lengan ayun NSR SP.

Bagi “memudahkan” kerja, lengan ayun ini dipasangkan bersama dengan set roda dan tayar Panigale Pirelli Super Corsa. Bagi menambahkan lagi masalah, sistem pacuan rantai asal digantikan dengan jenis talisawat. Hah! Macamana ni?

Bahagian hadapan nampak lebih kejam. Motosikal ini dipasangkan dengan suspensi asli dan bukannya suspensi acah-acah Ohlins tapi bila brek tersangkut shaft tak naik semula. Ini adalah set Ohlins yang diubahsuai dari kit aftermarket Kawasaki ZX-10R.

Kemudian, ia dipasangkan dengan brek berkembar lengkap dari Brembo bersama tuil RCS19 Brembo. Bar hendalnya turut dilengkapi lever guard seakan sebuah replika MotoGP.

Bagi mendapatkan sebuah imej MotoGP sebenar, gaya persembahan kit badannya dikemaskan bukan hanya pada livery Repsol itu sahaja. Lampu utama digantikan dengan “kepala” Honda Icon, bermaksud, tiada lampu utama. Ye lah, motor lumba nak pakai lampu buat apa kan?

Kerusi utama diubahsuai dengan menempatkan jenis tempat duduk tunggal. Motor lumba mestilah single seater. Bercakap pasal single seater ni saya teringat dulu jumpa sebuah Panigale siap modified letak seat belakang nak bawak awek. Gila kelakar.

Balik pada Honda Winner ni. Kerusi belakang yang ditutup tadi telah padankan dengan “ekor” Honda NSR 150SP . Kemasan menarik yang lain ialah pemasangan suis kawalan ala MotoGP berserta dengan gajet elektronik tambahan yang diletakkan di bahagian “tulang” tengah motosikal.

Sebenarnya, replika kapcai MotoGP ini di bina hanya untuk pameran. Pun begitu, enjin juga telah dipertingkatkan. Ia dipasangkan dengan stroker kit 62mm dengan omboh alumnium tempa menjadikannya kini 175cc dan bukan lagi 150cc

Tiada senarai ubahsuai lanjut yang dinyatakan kecuali radiator asal digantikan dengan radiator lebih besar dari model CBR150R. Sementara itu, sistem ekzosnya direka semula dengan paip custom yang diakhiri oleh peredam bunyi …err… CBR1000RR.

Beberapa pengubahsuaian kecil yang lain dibuat ialah sistem penghidup tanpa kunci (keyless), bentangan 3 set meter dan pemijak kaki perlumbaan buatan titanium. (dah macam Gilles tooling ni!)

Sepanjang saya lihat manusia mengubahsuai motosikal sekecil Honda Monkey dan sebesar Goldwing, saya terpaksa akui yang Honda Winner ini pemenang bagi kategori motosikal berkuasa rendah. Kerjanya bukan sahaja unik, malah kemasannya sangat teliti.

Ia bukan sahaja luar biasa, namun idea memasang set Panigale pada roda belakang tu memang tak masuk akal.

Kat Vietnam ada motor piang jugak ke?

BACA: TUNGGANG UJI HONDA RS150R

BACA: HONDA RS150R VS YAMAHA Y15ZR

SUMBER AUTOBIKES VIETNAM

 

 

Google ads
Back to top button