Motosikal

YAMAHA T-MAX

Boleh dikatakan ramai pengguna motosikal yang menganggap skuter sedikit membosankan. Tidak mempunyai semangat seperti jentera dua roda yang lain, meskipun ia mempunyai kapasiti enjin besar. 

Yamaha-T-Max-Mekanika (11)

Jika berhenti di lampu isyarat contohnya, skuter tidak begitu menarik perhatian. Malah sering dikaitkan dengan mereka yang sekadar inginkan motosikal yang mudah dikendalikan. Mungkin ada benarnya, tetapi dengan Yamaha T-Max, anda tidak boleh memandang rendah padanya.

Bermula dengan penampilannya, T-Max yang dipinjam daripada Hong Leong Yamaha Sdn Bhd ini mempunyai penampilan lebih menyerlah dengan skema warna perlumbaan yang menghiasi badannya yang menyerupai model sports seperti R1 dan R6.

Yamaha-T-Max-Mekanika (12)

Dengan mudah ia dapat menarik pandangan pengguna jalan raya lain. Apatah lagi, apabila pendikit dipulas, bunyi deruman dihasilkan melalui ekzos standard yang agak besar.

T-Max digerakkan oleh enjin 530cc berkuasa 46hp dan tork 52.3Nm. Dari segi kapasiti enjin dan jumlah kuasa, ia mungkin bukanlah skuter yang paling laju. Ini kerana masih ada skuter jenama Jerman dan Itali yang mempunyai kuasa lebih besar. Tetapi kawalan skuter ini yang menjadikan pakej keseluruhannya begitu menarik.

Yamaha-T-Max-Mekanika (3)

Penyampaian kuasa disempurnakan oleh transmisi automatik CVT ke tayar belakang menggunakan tali sawat. Padanan ini dirasa cukup bersesuaian dan cekap untuk T-Max.

Untuk mendapatkan pecutan, apa yang perlu dilakukan hanyalah memulas pendikit mengikut kelajuan yang dikehendaki. Tiada gangguan yang dapat dirasa. Sama ada bergerak santai di bandar, mahupun memecut laju di lebuh raya. Tiada senggukan dirasa apabila mula bergerak. Mahupun tindak balas pecutan lambat yang digelar ‘rubber effect’.

Yamaha-T-Max-Mekanika (6)

Cuma, badan skuter ini agak panjang dan lebar berbanding motosikal lain. Jadi penunggangnya perlu berhati-hati apabila mencelah. Apabila ruang jalan lebih terbuka, itulah waktunya anda dapat menikmati kuasa tunggangan T-Max sepenuhnya.

Yamaha-T-Max-Mekanika (7)

Di lebuh raya, anda boleh memecut sehingga 180km/j dan skuter ini masih lagi stabil. Inilah hasil daripada talaan suspensi yang bagus dan rintangan angin  dikurangkan melalui kehadiran penghadang angin di bahagian hadapannya.

Yamaha-T-Max-Mekanika (4)

Penghadang angin ini agak besar dan cukup untuk melindungi penunggang tetapi ia tidak boleh dilaras dan tetap pada satu kedudukan sahaja.

Selain itu, penunggang bersama penumpang turut disokong oleh ciri-ciri yang menambah keselesaan sepanjang perjalanan seperti tempat duduk dan perehat kaki yang lebar serta posisi tunggangan yang tegak.

Yamaha-T-Max-Mekanika (14)

Jika anda seorang yang lebih gemar melalui jalan-jalan lama untuk menikmati selekoh, T-Max tidak akan menghampakan. Malah boleh dikatakan bahawa ini adalah satu aspek yang menjadi kekuatan T-Max berbanding skuter maxi lain.

Walaupun tidak mempunyai tangki untuk dikepit sewaktu mengambil selekoh, skuter ini sangat mudah untuk dibaringkan dan diangkat untuk berubah arah. Bukan itu sahaja, apabila dalam keadaan senget, ia masih lagi stabil. Sekali gus meningkatkan keyakinan penunggang.

Yamaha-T-Max-Mekanika (13)

Sehinggakan rakan saya yang menunggang motosikal touring bersesaran 1,200cc di belakang pun tidak dapat mengikuti keseronokan T-Max melayan selekoh.

Sekiranya terlebih ‘rancak’, penunggang mempunyai sistem keselamatan tambahan kerana breknya dilengkapi sistem anti-kunci atau lebih dikenali sebagai ABS. Jika berhenti lama untuk parkir pula, brek tangan yang mempunyai angkup tersendiri boleh digunakan.

Yamaha-T-Max-Mekanika (8)

Dengan semua ini, boleh dikatakan Yamaha T-Max bukanlah sebuah skuter biasa yang membosankan. Ia juga mungkin boleh mengejutkan ramai pengguna motosikal genre lain.

[hr]SPESIFIKASI

Enjin: 530cc, dua silinder sebaris, empat strok, penyejukan cecair, DOHC, empat injap

Transmisi: Automatik CVT, V-Belt

Kuasa maksimum: 46hp @ 6,750rpm

Tork maksimum: 52.3Nm @ 5,250rpm

Suspensi hadapan: Fork teleskopik

Suspensi belakang: Lengan ayun

Brek hadapan: Cakera berkembar 267mm

Brek belakang: Cakera tunggal 282mm

Ciri keselamatan: Brek ABS, brek parkir

Berat: 221kg

Kapasiti tangki: 15 liter

Harga: Sekitar RM65,000

[hr]GALERI 

Yamaha-T-Max-Mekanika (1)Yamaha-T-Max-Mekanika (5)Yamaha-T-Max-Mekanika (9)Yamaha-T-Max-Mekanika (17)Yamaha-T-Max-Mekanika (16)Yamaha-T-Max-Mekanika (18)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button