NANTIKAN KEMUNCULAN MOTOSIKAL 2-LEJANG BAHARU DARI ENGLAND – ADA LAGI KE ORANG NAK BELI NI
Macam mana generasi wicet meleleh air liur bila bercakap pasal Y suku, macam tu jugaklah reaksi golongan 40-an ke atas bila cerita pasal motosikal 2-lejang. Bagi yang tak suka tu memang tak boleh buat apalah tapi bagi yang minat memang lain dia punya perasaan tu.
Jeritan ekzos yang mengejutkan ketua kampung tengah tidur, haruman bau minyak 2T wangi dan kepulan-kepulan asap yang bagaikan pertunjukan udara LIMA di Langkawi memang banyak membangkitkan nostalgia.
Punyalah ramai sebenarnya peminat motosikal 2-lejang ni sampaikan harganya dah jadi tak masuk akal. Habis tu korang ingat RX-Z tu bukan 2-lejang ke? RD, TZR, NSR dan RG-V semua dah mempunyai harga mengalahkan Axia baru.
Peraturan emisi ekzos menjadi punca kepada kepupusan motosikal dengan enjin jenis ini. Namun, jauh di seberang laut sana ada sebuah syarikat yang cuba mengembalikan zaman kegemilangan motosikal 2-lejang ni. Syarikat Langen Motorcycle yang berasal dari England kini sedang sibuk untuk menyiapkan sebuah motosikal sports 250cc 2-lejang serba baharu. Kalau dalam dunia kereta sports tahun 90-an, ia bersamaan dengan model sports dengan enjin 6-selinder NA transmisi manual tau. Fuhh, tetiba pulak meleleh air liur.
Motosikal ini bakal dilengkapi dengan enjin condong 90 darjah V-twin dengan aci sesondol counter-rotating yang dibekalkan oleh firma Vins dari Itali. Ia dikatakan mampu menghasilkan 80 bhp kuasa pada 11,800 rpm. Sebagai perbandingan Kawasaki Z800 dengan enjin 4-lejang mempunyai 113 hp kuasa walaupun mempunyai sesaran yang jauh lebih besar.
Penggunaan panel-panel dari gentian karbon dan kerangka aluminium membolehkan motosikal ini mendapat berat yang cukup ideal. Bayangkan kelajuan motosikal dengan 80 hp kuasa pada jentera dengan berat 112 kilogram. Psst… berat Y15ZR pun 115 kilogram boh.
Suspensi depan disokong oleh sepasang penyerap hentak Ohlins 43mm manakala bahagian belakang menggunakan sepasang peyerap hentak Ktech Razor. Tiada tetapan monoshock pada motosikal ini tetapi suspense belakang dipasang pada kedudukan yang agak ekstrim.
Direka agar kelihatan seperti sebuah café racer klasik tapi pada masa yang sama masih kelihatan moden. Setiap unik bakal dihasilkan mengikut tempahan pelanggan dan dihiasi dengan kemasan emas 24-karat sebagai daya penarik. Memang tak boleh bawa pergi beli ikan kat pasaraya la ni. Kalau tak hilang pun memang habis la emas tu kena kikis.
Memang sah-sah la motosikal ini tak akan dijual dengan harga murah. Dengarnya harga motor ini bila dilancarkan ialah sekitar £30,000 bila dilancarkan musim panas nanti. Itu dah sekitar RM161,545!
Tapi rasanya memang laku keras motor ni nanti bila dipasarkan. Ye lah, mana ada motosikal sport 2-lejang yang murah sekarang ni pun. Kalau nak murah, carilah yang kategori underbone. Itu je pilihan yang ada.