Motosikal

NI HSIN, TAILG METERAI MOU. BAKAL BIKIN MOTOSIKAL ELEKTRIK

Ni Hsin Group Bhd (Ni Hsin) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (Ni Hsin EV Tech) bakal memperkenalkan motosikal elektrik bagi pasaran Malaysia dan ASEAN dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong, berkata langkah kumpulan itu akan dilaksanakan selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co Ltd (TAILG).

Beliau berkata, melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang di dalam kajian, penyelidikan, pembangunan, pemasangan dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) untuk pasaran komersial.

Katanya, cabang penyelidikan dan pembangunan TAILG sudah menghasilkan lebih 420 paten berkaitan EV berprestasi tinggi, kecekapan dipertingkatkan dan perkhidmatan awan.

“Sektor pengangkutan bertanggungjawab kepada 14 peratus pelepasan gas rumah hijau global. Cabaran untuk mengurangkan pelepasan itu terbukti semakin penting.

“Ia meletakkan penekanan terhadap perubahan teknologi dan organisasi, memacu dunia ke arah elektromobiliti dan pengangkutan sifar pelepasan asap dengan kesan kemuncak mengurangkan pelepasan asap dalam sektor ini dan menambah baik kesihatan penduduk dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

TAILG adalah salah satu daripada tiga pengeluar utama motosikal elektrik di China dan memiliki kehadiran di lebih 75 negara.

Chee Kong berkata, kebanyakan perniagaan sudah mula menggunakan EV untuk penghantaran kerana ia memberikan penjimatan ketara dari segi penyenggaraan dan kos operasi.

Beliau berkata, ini disebabkan sistem mekanikal yang secara radikal lebih mudah iaitu tidak perlu kerap disenggara, seperti memerlukan penukaran minyak hitam dan penggunaan petrol.

Katanya, firma antarabangsa seperti Amazon, Flipkart, IKEA, Swiggy dan Grofers turut menggunakan motosikal elektrik bagi tujuan penghantaran di kebanyakan bandar utama.

“Pembabitan Ni Hsin ke dalam perniagaan e-mobiliti adalah berkaitan kelestarian perniagaan serta komitmen kepada kriteria kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan juga akan memperkenalkan model perniagaan baharu berkonsepkan ‘[email protected]’ yang akan mewujudkan prorietari Mesin Minuman Bergerak menggunakan motosikal EV.

Beliau berkata, ia akan memberikan satu kelainan penjualan kopi kepada pelanggan secara bergerak di pelbagai lokasi utama negara.

“Bagi tujuan itu, Ni Hsin merancang akan memperluaskan model perniagaan ini ke seluruh ASEAN.

“Menerusi kerjasama dengan TAILG, kedua-dua pihak akan membangunkan motosikal EV bagi tujuan perniagaan itu serta tujuan komersial lain,” katanya- BH

Google ads
Back to top button