Artikel Pilihan

KENALI SPESIFIKASI NISSAN GT-R. YANG MANA PALING POWER?

Banyak yang tanya pasal Nissan GTR mana yang sesuai dibeli. Ni saya dah membebel panjang lebar ni apa lagi ? Iqra’

Nissan GTR ini bermula produksinya pada tahun 2007 sehinggalah sekarang. Ini bermakna sudah 12 tahun kenderaan ini berada di pasaran.

Kenderaan ini dikenali dengan kod R35 dan merupakan model GTR pertama yang tidak menggunakan platform Skyline. Jadi, nama kenderaan ini adalah Nissan GTR R35 dan bukannya Nissan Skyline GTR R35.

R35 juga merupakan generasi ke-6 di dalam keluarga GTR. Berikut merupakan barisan model GTR dari generasi pertama hingga keenam :-

  1. Nissan Skyline GTR KPGC10 (Hakosuka)
  2. Nissan Skyline GTR KPGC110 (Kenmeri)
  3. Nissan Skyline GTR R32
  4. Nissan Skyline GTR R33
  5. Nissan Skyline GTR R34
  6. Nissan GTR R35

Antara nama besar di belakang pembangunan Nissan GTR R35 ini adalah seperti berikut :-

  1. Kazutoshi Mizuno – Chief Engineer
  2. Chief Designer – Hiroshi Hasegawa
  3. Shiro Nakamura – Chief Creative Officer
  4. Carlos Ghosn – Chairman/CEO

Cerita pasal Carlos Ghosn ni, dah dia Chairman kalau dia tak approve tak jadi lah R35 ni. Dia jadi CEO dari 2001 hinggalah 2017 sebelum ditahan. Selebihnya umum sudah mengetahui kisahnya.

Baiklah, kita ke topik utama. Sebab utama artikel ini ditulis adalah untuk memberi tips tentang pengenalan kenderaan ini. Hal ini kerana Nissan GTR ini ada banyak varian.

Bahkan R35 ini sudah melalui 3 fasa pengeluaran sebenarnya. Artikel kali ini adalah artikel santai dan tidak menyentuh terlalu dalam dari segi teknikal mahupun spesifikasi.

🚘 Fasa Pertama/Generasi Pertama CBA 2007-2010
Terdapat EMPAT varian utama di dalam Fasa Pertama Nissan GTR iaitu :-

  1. Pure
  2. Premium
  3. Black Edition
  4. Spec V

Bagi model fasa pertama ini, produksi bermula pada tahun 2007 hinggalah tahun 2010. SEMUA MODEL fasa pertama ini mempunyai jumlah kuasa yang sama iaitu 479hp dan torque sebanyak 588Nm.

Semua varian sama ye.

Kenderaan ini adalah bersifat 4WD on demand ATESSA-ETS yang bermaksud kuasa kepada tayar hadapan cuma diberi ketika tayar belakang hilang cengkaman dan ketika memecut dari keadaan pegun.

Nilai kuasa maksimum yang akan sampai ke tayar depan hanyalah 50% sahaja. Ketika memandu, 100% kuasa disalurkan ke tayar belakang.

🚙 Pure/Base
Bila dah Base Model (Model Asas) ni, maknanya apa yang ada di kenderaan ini hanyalah ciri-ciri asas sahaja. Model ini banyak di dalam pasaran di dunia.

Cara untuk mengenalinya adalah bahagian dalamannya (interior) hanya mempunyai satu tona warna. TETAPI, ada sesetengah model Premium pun cuma mempunyai satu tona, cuma ada perbezaan lain. Kejap lagi cerita.

🚙 Premium
Model ini mempunyai tambahan seperti berikut untuk membezakannya dengan model Pure.

  1. 11-Speaker Bose Audio System dengan 2 Subwoofer
  2. Heated Both Front Seat (pemanas pada kerusi depan)
  3. Front Passanger Side Airbags & Side Curtain Airbag.
    Model Pure tiada Side Curtain Airbag ye Tuan-Tuan.

🚙 Black Edition
Tak banyak beza dengan 2 varian diatas. Bahagian dalaman (interior) menerima kemasan kulit 2 tona pada tempat duduk dan juga “Door Trim”.

Ciri-ciri yang terdapat pada varian Premium merupakan “Optional” pada model Black Edition. Jadi, bila anda beli recon, ada model yang ada dan ada model yang tiada ciri-ciri yang dinyatakan tersebut.

🚙 Spec V
Varian ni merupakan varian paling mahal di antara 4 varian ini. Ciri tambahan yang ada pada kenderaan ini adalah :-

  1. Carbon Fibre Interior Trim
  2. Carbon Ceramic Brake System
  3. Titanium Exhaust
  4. Nismo Rims
  5. Refined/Reworked Suspension
  6. No Rear Seats

Tiada tempat duduk belakang ye tuan-tuan. Dah bawa Spec V buat apa nak bawa penumpang kan ? Bawa bini je sudahlah di sebelah. Lagi satu, Carbon Ceramic Brake tu. Jadi, model Brake Pad dan Rotor bagi kenderaan ini adalah lain dari varian yang lain dan semestinya lebih mahal.

Harga bagi 4 varian diatas paling murah adalah Pure, diikuti oleh Black Edition, Premium dan paling mahal adalah Spec V.

🚘 Fasa Kedua/Generasi Kedua DBA 2011-2015
Model ini merupakan model “facelift” bagi model GTR Fasa Pertama. Banyak penambahbaikan dibuat sebenarnya pada model ini. Perbezaan ketara dapat dilihat pada bahagian luaran, dalaman, enjin dan juga transmisi.

Antara perubahan yang diterima adalah :-

  1. Bumper rekaan baru
  2. Daytime Running Light(DRL) di bumper
  3. 4 Rear Light. Kalau CBA 2 je menyala, 2 lagi untuk brek.
  4. Rim rekaan baru
  5. Sat Nav
  6. Reworked Suspension
  7. Magnesium Paddle Shifter
  8. Retune Engine
  9. Retune Transmission
  10. Bigger Brake Rotor (390mm F, 380mm R)

Paling ketara adalah kuasa yang dapat dihamburkan dimana model 2011 mempunyai kuasa sebanyak 523hp dan Torque sebanyak 612Nm.

Pada tahun 2012, enjin ditala lagi dan kuasa bertambah kepada 545hp dan Torque sebanyak 632Nm. Unit transmisi ditala bagi mempercepatkan lagi “shiftpoint” dan beberapa komponen telah ditambah baik.

Untuk fasa kedua ini, terdapat TIGA varian baru yang diperkenalkan iaitu :-

  1. Egoist
  2. Track Edition
  3. NISMO

Bagi model Egoist, ianya diperkenalkan untuk pelanggan yang sukakan “Personalization”.

Maknanya, pembeli taknak model yang sama seperti orang lain. Bakal pembeli boleh membuat pilihan bagi kemasan dalaman dengan lebih 20 pilihan warna serta material.

Senang cakap, varian ini adalah gabungan Spec V dan juga Premium. Power dapat, mewah pun dapat. Brek Carbon Ceramic, Rim RAYS. Saya tak tahulah di Malaysia ni ada yang bawa masuk atau tidak varian ini. Kalau ada, ni kira level-level atas lah ni.

Bagi model Track Pack, model ni dibuat memang untuk dilenjan di trek. Antara ciri-ciri kenderaan ini adalah tiada tempat duduk belakang. Nak masuk trek kan, takkan nak bawak sedara-mara dekat belakang.

Sistem suspensi kenderaan ini ditala semula mengikut acuan trek Nurburgring. Penalaan sistem suspensi ini diketuai oleh GTR Development Driver Toshio Suzuki. Jawatan macam ni pun ada beb. Sistem penyejukan brek juga ditambah baik dengan rekaan “Brake Cooling Duct” yang baru.

Selain itu, Rim yang digunakan adalah dari jenama RAYS 6 Spoke Forged. Memang ringan. Spoiler belakang pula dibuat dengan tangan (Handmade) oleh pihak Nissan.

Material ? Macam biasa, Carbon Fibre. Bahagian dalaman pula menerima kemasan 2 tona iaitu hitam dan biru. Memang lain dari yang lain. Kuasa ? Sama. Masih 545hp

VERSI NISMO

NISMO ! Ye NISMO. Model NISMO merupakan model yang paling berkuasa dan paling tinggi hierarkinya setakat ini dengan kuasa sebanyak 591hp dan Torque sebanyak 652Nm.

Kuat beb. Perubahan ketara dari segenap aspek. Sana-sini boleh nampak Emblem NISMO. Sana-sini boleh nampak Carbon Fibre. Kemasan kulit Alcantara. Spoiler sidai baju. Tak perlu cakap banyak. LAJU DAN MEWAH !

🚘Fasa Ketiga/Generasi Ketiga EBA 2016-
Model EBA ini merupakan model yang paling baru. Model ini melalui perubahan yang sangat radikal. Dari segi enjin, luaran serta dalam semuanya berbeza daripada generasi pertama dan kedua.

Model EBA ini menerima peningkatan kuasa kepada 565hp dah Torque sebanyak 637Nm. Namun, model NISMO seperti biasa, mempunyai kuasa tertinggi iaitu sebanyak 591hp dan Torque sebanyak 652Nm.

Varian yang terdapat di dalam model fasa ketiga ini adalah seperti berikut:-

  1. Pure
  2. Black Edition
  3. Premium
  4. Track Edition
  5. NISMO
    Perbezaan untuk setiap varian masih lagi mengikut asas Nissan GTR generasi pertama dan kedua.

Model EBA ini juga merupakan model GTR yang paling selesa pernah dibuat dan paling mewah. Kalau anda biasa bawa GTR generasi pertama dan kedua mungkin perbezaan ketara dapat dirasai dari segi keselesaan.

Jadi ini lah 3 generasi Nissan GTR yang terdapat di pasaran sekarang ini. Saya harap artikel ini dapat membantu anda untuk memilih varian mana yang anda mahukan serta dapat membantu jurujual untuk memberikan penyataan yang benar kepada bakal pembeli dan bukannya misleading.

Oh, mungkin ada yang tanya Nissan tiada rancangan ke nak buat GTR baru? Entahlah. Dengan krisis dalaman yang berlarutan di dalam Nissan sendiri mungkin produksi R35 ini boleh dipanjangkan ke 20 tahun.

Ingat ye, sela masa Nissan Skyline GTR Kenmeri dan Nissan Skyline GTR R32 adalah 16 tahun. Ada lagi 4 tahun untuk R35 memecahkan rekod menunggu. Hahaha.

Nasihat saya, sebelum beli buatlah Pre-Purchase Inspection dulu. Banyak dah kes termasuk kawan saya sendiri yang kononnya nak surprisekan saya dengan kereta “baru” dia tu.

Hujung-hujung saya memang betul-betul surprise bila tengok keadaan kereta tu. Teruk. Kawan saya pun surprise bila tengok saya surprise. Dah surpriseception dah jadinya. Tak salah labur sikit duit sikit masa sebelum beli. Harga bukan murah!

Google ads
Back to top button