Buletin

WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA WRC TERMUDA!

Pemandu handalan dan harapan pasukan Toyota Gazoo Racing, Kalle Rovanpera berjaya mencatat rekod, apa bila kali ini beliau berjaya muncul juara termuda World Rally Championship (WRC) selepas berjaya memenangi perlumbaan pusingan ke-11 di Repco Rally New Zealand.

Kalle Rovanpera berjaya mencatat rekod sebagai juara WRC termuda apabila hanya berusia 22 tahun sekali gus memecah rekod yang sebelum ini menjadi milik mendiang Collin McRae ketika beliau memandu jentera Subaru pada usia 27 tahun dan 89 hari pada tahun 1995. Kemenangan Kalle Rovanpera ini agak ironi juga apabila baharu sahaja menyambut hari ulang tahun kelahiran sehari sebelum ya.

Anak kepada seorang pemandu rali dari Finland, Harri Rovanpera ini sebetulnya hanya memerlukan beberapa mata sahaja bagi memastikan Ott Tanak yang berada di kedudukan kedua keseluruhan terus kempunan untuk bergelar juara WRC sekali lagi. Yang pasti Kalle Rovanpera telah menunjukkan prestasi yang konsisten sepanjang musim ini dengan beberapa siri kemenangan podium di Rally Sweden, Rally Croatia, Rally Portugal, Rally Safari serta Rally Estonia. Cuma dalam dua perlumbaan terakhir sebelum ini rezeki menyebelahi pasukan Hyundai Motorsport untuk bergelar juara.

Di Repco Rally New Zealand ini asalnya hampir menjadi milik Ott Tanak apabila berjaya mendahului saingan di awal perlumbaan namun beliau telah dikenakan penalti akibat penggunaan boost elektrik pada sistem hibrid yang berlebihan. Kalle Rovanpera bijak mengambil peluang daripada situasi yang melanda Ott Tanak untuk memimpin perlumbaan sekali gus untuk muncul juara di New Zealand.

Lebih manis kemenangan pasukan Toyota Gazoo Racing ini apabila rakan sepasukan yang juga mantan juara WRC berkali kali, Sebastian Ogier berada di podium kedua yang ketinggalan 34.6 saat. Sudah tentu Sebastian Ogier yang memandu secara separuh masa untuk musim ini lebih berkeinginan mencatat podium apatah lagi beliau telah ditugaskan untuk memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 ini sehingga tamat kempen musim ini.

Orang yang gembira dengan kemenangan Kalle Rovanpera ini sudah pastilah bos beliau, Jari-Matti Latvala. Untuk rekod, ini merupakan tahun pertama untuk beliau mengemudi pasukan Toyota Gazoo Racing sementelah mengambil alih jawatan Prinsipal daripada Tommi Makkinen. Tapi yang pasti Prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing ini berasa gembira diatas pencapai anak muda Finland ini apatah lagi telah lama ketiadaan juara WRC daripada Finland. Peminat sukan rali pasti ambil maklum tentang Finland dan beberapa jaguh rali mereka seperti Marcus Gronholm.

Sementara itu, ada beberapa pelumba yang gagal menamatkan aksi di New Zealand disebabkan mengalami kemalangan termasuklah Elfyn Evans, Takamoto Katsuta, dan juga Gus Greensmith. Pusingan berikutnya penghujung Oktober nanti di RallyRACC – Rally de España.

BACA : WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA SAFARI RALLY KENYA YANG PENUH DENGAN DRAMA

BACA : WRC 2022 – APA YANG MENARIK DI REPCO RALLY NEW ZEALAND

Google ads

B K

Back to top button