Motosikal

SHELL ADVANCE MASTERCLASS – TINGKATKAN KEMAHIRAN MEKANIK MOTOSIKAL TEMPATAN

Sebagai sebahagian daripada kempen jenamanya yang baru iaitu ‘Redah Segalanya’, Shell Advance telah melancarkan program latihan Masterclass yang eksklusif untuk mekanik motosikal tempatan. 

Program Masterclass tersebut mengandungi tujuh video dalam talian yang dihasilkan dengan kerjasama Ducati. Ia memberi panduan, pengetahuan dan tip berkaitan penyelenggaraan motosikal yang betul.

Video itu mengetengahkan modul yang meliputi sembilan komponen utama motosikal. Mekanik pakar, Jeff Oh, memberikan panduan langkah demi langkah berkenaan topik seperti penyelenggaraan brek, penggantian piston, pemegun, pemasaan injap, rantai pemasaan dan lain-lain.

Peserta yang menonton semua video dan berjaya menjawab soalan-soalan di akhir setiap video dengan betul menjelang 30 September 2017 akan mendapat insentif berupa tiket ke MotoGP™ Shell Malaysia 2017, serta sijil daripada Shell Malaysia.

Pengurus Pemasaran Shell Lubricants – Malaysia dan Singapura, Alex Lim memberitahu, pihaknya merancang untuk membantu meningkatkan kemahiran hampir 2,400 orang mekanik. Kebanyakan mereka mendapat kemahiran dengan belajar sendiri atau latihan semasa bekerja.

“Kami yakin bahawa pelaburan dalam program ini akan membawa kebaikan kepada seluruh rantaian nilai. Ini kerana ia mewujudkan kumpulan mekanik yang dilatih secara profesional dan diiktiraf.

“Para penunggang motosikal akan dapat menikmati servis yang lebih baik. Pemilik bengkel pula akan dapat mengembangkan perniagaan. Manakala mekanik dapat mengharapkan kerjaya teknikal yang lebih memuaskan,” katanya.

Lebih 200 orang mekanik dan pemilik bengkel motosikal dari Lembah Klang menghadiri Shell Advance Masterclass secara langsung yang pertama.

Ti Tai Chin, 49, pemilik bengkel motosikal di Jalan Tun Razak sejak 1990, mengakui program tersebut sememangnya banyak membantu. Mekanik, Muhamad Maridan Abd Kadir, 30, yang telah bekerja dengan Ti sejak 10 tahun lalu, menghargai peluang untuk mempelajari bagaimana mekanik profesional melakukannya.

“Video tersebut mudah difahami kerana semuanya ditunjukkan dengan jelas. Saya juga suka bagaimana jurulatih meluangkan masa untuk memberi penerangan tentang jenis-jenis minyak motor dari Shell Advance serta kebaikannya,” kata Muhamad.

Pengurus AMS Empire Motorsport Sdn Bhd, Siti Sabariah Ismail membawa sembilan orang mekanik ke Shell Advance Masterclass. Beliau bersetuju bahawa ia menjadi pengalaman program latihan sebenar yang pertama bagi kebanyakan mereka.

“Kebanyakan mekanik saya terdiri daripada golongan susah yang tidak mempunyai pendidikan formal dan tidak mampu untuk menyertai institut latihan vokasional. Program seumpama ini sangat bagus, terutamanya bila dianjurkan oleh jenama yang mempunyai reputasi yang baik seperti Shell Advance. Semua peserta begitu berminat untuk menghabiskan modul dan mendapatkan tiket MotoGP!” katanya.

Lebih banyak lagi sesi secara langsung Shell Advance Masterclass akan diadakan di tapak sempena pertunjukan bergerak ‘Redah Segalanya’ Shell Advance di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pertunjukan bergerak seluruh negara ini akan diadakan di berbagai-bagai tempat berkumpul yang popular di kalangan penunggang motosikal. Misalnya di bengkel motosikal, pusat membeli-belah dan pasaraya besar.

Pelbagai jenis barangan, termasuklah tiket ke MotoGP™ Shell Malaysia 2017, dan keseronokan menanti pengunjung di semua lokasi.  Untuk mendapatkan senarai penuh lokasi, sila layari www.shell.com.my/advanceroadshow.

Google ads
Back to top button