Motosikal

VESPA SEI GIORNI – MODEL 300cc PALING BERGAYA, RM38,000 SEUNIT

Baiklah, ini ialah versi terakhir model Vespa terbaharu yang diperkenalkan oleh Naza Premira buat setakat ini.

Bagi saya, ini juga model yang paling menarik perhatian berbanding Vespa Sprint Carbon dan Vespa 946 (RED) yang pernah dilaporkan dalam entri terdahulu.

Untuk makluman, Vespa Sei Giorni ialah pewaris kepada model asal Vespa Sport “Sei Giorni” yang dihasilkan khas untuk menyertai pertandingan “Sei Giorni Internazionale di Varese” pada tahun 1951.

Ia berjaya memperoleh sembilan pingat emas, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang begitu sukar untuk digugat.

Vespa Sei Giorni biasanya tampil dengan versi istimewa, dihasilkan dalam edisi bernombor dan dilekatkan dengan plat “Special Edition” pada bahagian pemijak kakinya.

Sekali pandang, kita tahu bahawa jentera ini direka dengan elemen-elemen karekteristik seperti “faro basso” – di mana lampu utama diposisikan pada mudguard hadapan. Manakala bar hendal pula mengambil inspirasi rekaan Vespa Sei Giorni original.

Paip besi dibiarkan terdedah. Keunikannya ditambah dengan pelekat angka 6 dan perkataan Sei Giorni berwarna merah. Vespa ini didatangkan bersama tempat duduk tunggal agar kelihatan lebih sporty.

Selari dengan reputasinya, Vespa Sei Giorni dijana oleh enjin paling berkuasa dalam sejarah Vespa. Enjin moden selinder tunggal bersesaran 278cc itu mematuhi piawaian Euro4.

Dilengkapi sistem penyejukan cecair dan pancitan terus bahan api, enjin empat lejang itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 21.2hp dan tork maksimum 22Nm. Ini sudah cukup untuk memberikan maklum balas pantas sebaik sahaja pendikit dipulas.

Gayanya diseimbangkan dengan praktikaliti apabila ruang penyimpanan di bawah tempat duduk boleh menempatkan sebuah topi keledar dan barangan lain. Tempat duduknya juga ergonomik untuk ditunggang dalam jarak yang jauh.

Selain sistem brek ABS sebagai standard, ia mempunyai satu port USB di dalam ruang kompartmen dan lampu hadapan LED.

Hadir dalam warna hijau sahaja, Vespa Sei Giorni boleh anda miliki pada harga RM38,000 seunit. Ia sudah boleh dilihat secara dekat di pengedar sah Vespa terpilih di seluruh negara mulai sekarang.

GALERI

Google ads
Back to top button