
PASUKAN PETRONAS YAMAHA SRT TINGKATKAN SOP KESELAMATAN DI JEREZ
Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akan mengutamakan aspek keselamatan pelumba dan kru teknikalnya apabila bertandang di Litar Jerez, Sepanyol pada bulan hadapan.
Biarpun Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika perlumbaan, pasukan SRT mempunyai protokol keselamatan tersendiri.
Pengarah pasukan SRT, Johan Stigefelt berkata pihaknya akan mengetatkan pergerakan di pit dan pendekatan melaksanakan tugasan kelak.
“Pengenalan penggunaan pelitup muka, sanitasi dan sarung tangan akan dilakukan pada perlumbaan kali ini.
“Ini merupakan antara contoh pendekatan yang akan dilaksanakan sepanjang normal baharu. Banyak lagi pendekatan yang bakal dijalankan. Malah terdapat petugas khas yang bertanggungjawab dalam memastikan SOP ini berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam satu kenyataan di laman rasmi Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Stigefelt menyatakan struktur pasukan akan berubah pada perlumbaan di litar Jerez.
Anggota pasukan juga lebih kecil untuk beberapa perlumbaan kerana tidak semua kru akan dibawa.
“Kebanyakan kru yang bakal bertugas ialah petugas di bahagian teknikal. Mereka akan fokus kepada aspek persediaan para pelumba.
“Para petugas media, hospitaliti, rakan penganjur dan lain-lain atau lebih tepat petugas belakang tabir tidak dapat dibawa bersama buat sementara waktu,” tegasnya.
Perlumbaan MotoGP 2020 membabitkan 13 pusingan di Eropah antara Julai dan November, dengan potensi empat pusingan di luar rantau itu pada November dan Disember.
Perlumbaan pusingan pertama bakal menyaksikan pasukan bertandang ke Sepanyol pada dua hujung minggu iaitu pada 19 dan 26 Julai.