Motosikal

MOTOGP BATAL, PENAJA BOLEH TAK BAYAR GAJI PELUMBA

Pembatalan perlumbaan MotoGP di beberapa venue bermula di Qatar pada awal bulan ini bukan sahaja memberi masalah dari perspektif sukan, malah menjejaskan aspek kewangan. 

Bekas Ketua Pasukan Honda dan Ducati, Livio Suppo memberitahu pasukan ialah syarikat, tidak berlumba bermakna tidak bekerja dan pastinya memberi kesan kepada kakitangan mereka. 

Menurutnya  setiap kontrak di antara pelumba dan penaja mempunyai klausa-klausa berbeza dalam berhadapan dengan situasi yang tidak diduga.

Sekiranya perlumbaan tidak dapat dijalankan, penaja tidak diwajibkan untuk membayar dan mungkin pelumba tidak menerima gaji masing-masing. 

“Gaji pelumba dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, berkaitan dengan prestasi dan kedua melibatkan hak imej. Dalam keadaan pembatalan perlumbaan akibat wabak COVID-19 seperti sekarang, klausa pertama tidak lagi terpakai. 

“Jadi, bergantung kepada perjanjian, pembayaran pasti terganggu, misalnya jika pelumba mengalami kecederaan,” kata Suppo. 

Namun, segalanya bergantung kepada perbincangan dan budi bicara semua pihak yang terlibat. 

“Sebagai contoh, saya pernah mengenakan denda disebabkan oleh tingkah laku tertentu. Saya pernah mendenda Jack Miller yang selalu menimbulkan masalah. Saya seperti bapa kepadanya, sering mengingatkan bahawa bir yang diminumnya akan memberi kesan buruk. Pendekatan itu akhirnya berjaya. 

“Tetapi, dalam situasi berbeza, Casey Stoner masih dibayar gaji pada tahun 2009 walaupun dia terlepas tiga perlumbaan,” katanya lagi.

Google ads
Back to top button