Buletin

PERGESERAN DENGAN KESATUAN PEKERJA, PRODUKSI INONIQ 5 MUNGKIN TERJEJAS

Produksi kenderaan elektrik baharu Hyundai, Ioniq 5 dilapor mungkin terjejas berikutan pergeseran di antara pengeluar itu dengan kesatuan pekerja di kilang Ulsan, Korea Selatan. 

Media tempatan mendakwa Hyundai kini tidak bersependapat dengan pemimpin kesatuan berhubung bilangan pekerja yang akan membina Ioniq 5 dan jumlah jam mereka perlu bekerja. Korean car Blog memberitahu bilangan pekerja yang diperlukan untuk memasang EV berkenaan adalah lebih sedikit berbanding model pembakaran dalaman. 

Dalam satu kenyataan, Hyundai menegaskan bahawa ia sedang berunding tentang tempoh bekerja dengan kesatuan pekerja terbabit dan akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Pergeseran itu berlaku pada masa yang kurang sesuai ketika Hyundai cuba untuk tampil sebagai pengeluar EV yang serius dengan Ioniq 5. Dengar kata, Hyundai  sudah menerima sebanyak 35,000 tempahan untuk Ioniq 5 di Korea Selatan sahaja. 

Hyundai juga hanya memerlukan masa 24 jam untuk mendapat 3,000 tempahan di Eropah bagi model edisi pertama jentera Project 45. Jika itu semua tidak cukup, Hyundai mendedahkan sudah menerima lebih 236,000 pertanyaan mengenai Ioniq 5 daripada pelanggan di Eropah. 

Hyundai Ioniq 5 bakal ditawarkan dengan dua pilihan pek bateri, 58kWh dan 72.6 kWh serta dua motor elektrik berkembar. Varian paling berkuasa menawarkan janaan sehingga 302hp dan pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.2 saat.  

Google ads
Back to top button