
PERLUMBAAN KTM 390 DUKE BATTLE 2014
Pusingan pertama perlumbaan KTM 390 Duke Battle 2014 telah berlangsung di litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC) di Ayer Keroh, Melaka pada 19 dan 20 April 2014. Seramai 15 orang peserta bertuah telah terpilih untuk menyertai perlumbaan sulung tersebut.
Selain menyediakan 15 buah jentera perlumbaan (KTM 390 Duke), pihak KTM Malaysia CKD turut menyediakan sut perlumbaan, sarung tangan serta topi keledar kepada semua peserta. Mereka juga diberi khidmat nasihat pakar serta taklimat berkaitan peraturan dan teknik berlumba dengan selamat.
Hari pertama dimulakan dengan sesi latihan selama 10 minit bagi memberi peluang kepada semua pelumba menyesuaikan diri dengan jentera masing-masing. Ia diikuti oleh sesi ujian masa dan kelayakan petak mula pada jam 12.00 tengah hari.
Sesi kedua itu menyaksikan pelumba baru dan berpengalaman mula menunjukkan kemahiran masing-masing. Perlumbaan pertama bermula pada jam 5.00 petang. Sebanyak 10 pusingan telah dilangsungkan dan mendapat sambutan hebat daripada penonton yang membanjiri litar MIMC.
Hari kedua, perlumbaan berlangsung pada jam 12.45 tengah hari dan disaksikan oleh hampir 2,000 orang penonton. Deruman jentera KTM 390 Duke nyata menggamit orang ramai untuk singgah ke litar dan menonton perlumbaan. Seramai 14 peserta bersaing setelah seorang pelumba terpaksa menarik diri kerana melanggar peraturan perlumbaan pada hari pertama.
Podium pusingan pertama menjadi milik Abdul Wafi Hassan yang mencatat masa terpantas 1.13.804. Sangat gembira dengan keputusan yang dicapainya, Wafi membawa pulang wang tunai RM700, trofi kejohanan, penginapan 2 malam untuk 2 orang di Nilai Spring Resort, eksklusif Red Bull KTM Ajo Garage Pit Walk, sesi autograf bersama pelumba Red Bull KTM Ajo serta tiket Grand Stand sempena MotoGP.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Azrald Azmi yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan trofi kejohanan. Sementara Hamizudin Aizat Ahadin terpaksa berpuas hati di tempat ketiga, dia menerima wang tunai RM300 dan trofi kejohanan.
Johan dan naib johan menempah tiket ke peringkat akhir KTM 390 Duke Battle yang akan diadakan di Litar Sepang. Hadiah yang ditawarkan untuk johan keseluruhan ialah sebuah KTM 200 Duke bernilai RM15,888.
Naib johan pula bakal menerima baucar Powerwear bernilai RM 2,000 dan tempat ketiga memperoleh baucar Powerwear berjumlah RM1,000.
Kepada semua pengguna motosikal, tidak kira apa jenama motosikal yang anda miliki, anda berpeluang menghayati dunia perlumbaan yang dibawakan oleh KTM Malaysia CKD.
Caranya cukup mudah. Hanya perlu ambil lesen daripada MAM, berumur antara 18 hingga 40 tahun dan memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Permohonan perlu dibuat melalui laman web http://dukebattle.ktmmalaysiackd.com/ dengan memuat turun borang penyertaan. Hantarkan penyertaan melalui e-mel.
Pemilihan akan dibuat berdasarkan peserta terawal menghantar borang penyertaan, jenis motor yang dimiliki, pengalaman menungang, serta beberapa kriteria lain yang ditentukan oleh pihak KTM Malaysia CKD.
Terdapat tujuh lagi pusingan perlumbaan yang akan diadakan di litar-litar terpilih. Jadual perlumbaan adalah seperti berikut:
|
PUSINGAN |
TARIKH |
LOKASI |
| Pusingan 2 | 24 & 25 Mei | Pahang |
| Pusingan 3 | 13 &14 Jun | Kedah |
| Pusingan 4 | 6 & 7 September | Selangor |
| Pusingan 5 | 27 & 28 September | Sabah |
| Pusingan 6 | 17 & 18 Oktober | Terengganu |
| Pusingan 7 | 1 & 2 November | Perak |
| Pusingan 8 | 21 & 22 November | Johor |
| Pusingan Akhir | 13 & 14 Disember | Sepang |
















