
PEUGEOT 208 – NYATA BERBEZA
Kalau anda sedang berfikir untuk memiliki sebuah kereta kompak segmen B, saya tidak terkejut kalau masih belum ada keputusan pasti yang dibuat.
Untuk segmen ini, para pengguna diberi banyak pilihan kerana hampir semua pengeluar kenderaan ada menawarkan model taruhan masing-masing. Model yang ditawarkan pun bukan calang-calang. Misalnya Ford Fiesta dan Kia Rio. Semuanya ada kelebihan dan kekuatan tersendiri.
Apa yang pasti, model kompak semakin menjadi pilihan kerana orang ramai mahukan sebuah kereta yang efisien dari segi penggunaan bahan api dan senang dikendali dalam kesesakan di bandar.
Salah satu model yang layak mendapat perhatian anda ialah Peugeot 208. Dilancarkan pada April 2013 oleh pengedar kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd., jentera tersebut tidak menunggu lama untuk mendapat sambutan hangat daripada pengguna tempatan.
Salah satu penyumbang utama adalah penampilan luarannya yang sporty dan memukau. Ia seakan-akan memiliki aura yang kuat untuk membuatkan sesiapa sahaja menoleh dan memegangnya.
Sama impresif seperti rekaan luarannya, ruang kabin 208 menyediakan ambien yang mewah dan ada kelas. Pemandu dan penumpang dialu-alukan dengan tona hitam pada keseluruhan kabin.
Di sini jugalah anda boleh tahu bahawa 208 memiliki banyak ciri seperti kenderaan yang berada dalam kelas lebih besar daripadanya. Mata pastinya tertarik ke arah paparan skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka.
Sistem ini menempatkan radio, pemain CD, MP3, USB, Bluetooth dan penstriman audio. Ok. Semua ada. Cuma GPS sahaja yang tertinggal agaknya. Tidak mengapa, kekurangan itu ditebus menerusi sistem audio Arkamsys yang terdiri daripada enam unit pembesar suara. Saya yakin mana-mana peminat muzik pasti menghargai kualiti bunyi yang mampu disampaikannya.
Memegang stereng, anda akan dapati ia sedikit kecil berbanding mana-mana kereta yang pernah dipandu sebelum ini. Jangan risau, stereng yang dibalut kulit itu sedap dipegang. Ditambah pula dengan maklum balasnya yang meyakinkan dan tidak rasa terlalu ringan, membuatkan anda pantas dapat membiasakan diri.
Walaupun tidak dibalut kulit, tempat duduknya selesa dan rasa mahal. Pemandu boleh duduk dengan selesa tanpa banyak rungutan. Ruang bahagian belakang masih boleh diterima untuk mereka yang bertubuh sederhana. Sedang-sedang elok orang kata.
Kalau ada banyak barang yang perlu diangkut, jangan bimbang. Ruang kargonya boleh bertambah menjadi 285 liter apabila kerusi belakang dilipat dengan konfigurasi 60:40.
208 dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 1.6 liter VTi yang dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan. Enjin itu mampu menjana kuasa sehingga 122PS dan 160Nm @ 4,250rpm.
Namun, angka itu tidaklah dapat dijelmakan sepenuhnya ke dunia sebenar. Kalau anda rasa atau fikir 208 benar-benar responsif dengan badannya yang kompak itu, anda mungkin akan sedikit kecewa. Tetapi, ia sudah cukup bagus untuk dipandu di laluan bandar pada kelajuan sederhana. Kalau varian enjin 1.6 turbo, pasti kisahnya jauh berbeza.
Menyusuri lebuh raya, kereta ini nyata stabil pada kelajuan tinggi. Cuma, bunyi enjin diperah dapat didengar dengan agak jelas apabila jarum mencecah 135km/j ke atas. Dari segi kualiti pengendalian pula, setting suspensi yang agak keras itu memang membantu ketika mengambil selekoh.
Cuma, kalau terlebih asyik melayan selekoh, tidak mustahil anda akan disumpah oleh penumpang di belakang. Sebabnya, olengan tubuhnya boleh dirasa dengan agak ketara.
Sebagai sebuah model yang mendapat banyak anugerah di peringkat global, memang tidak hairan jika 208 sarat dengan sistem keselamatan pasif dan aktif. Enam beg udara, bersama sistem brek ABS, traction control, EBD dan BA serta penarafan lima bintang Euro NCP memang memberi keyakinan kepada sesiapa sahaja untuk memandunya.
Sepadan dengan ciri yang dipasang padanya, 208 varian lima pintu ini ditawarkan pada harga RM85,888 seunit (di atas jalan termasuk insurans), bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Memang betul, dengan harga itu anda boleh memiliki sebuah kereta lain yang lebih besar dan sebagainya. Tetapi, 208 menawarkan kualiti sebuah kereta buatan Perancis yang sebenar dan cukup untuk membuatkan anda berbangga ketika memandunya. Err… Lupa nk bagitau. 208 ialah model CKD yang dipasang di kilang Naza di Gurun, Kedah.
Foto: Nizam Zainuddin (The Puteh Production KL Photography)
[hr]GALERI






















