Buletin

TOYOTA LANCAR SIRI KERETA SPORTS GR KE PASARAN JEPUN 

Toyota Motor Corporation (TMC) melancarkan siri kereta sport GR untuk pasaran negara matahari terbit itu. 

Rangkaian model yang telah diubah suai itu dilihat sebagai satu komponen penting inisiatif Toyota membangkitkan keterujaan dalam budaya kereta sports di Jepun. 

Kini, TMC merevolusikan siri G menjadi siri GR bagi membolehkan pelanggannya menikmati pemanduan. Bermula dengan Yaris GRMN untuk pasaran Eropah pada Mac lalu, pengeluar kenderaan tersebut merancang melancarkan siri GR di luar Jepun secara berperingkat-peringkat. 

Dalam usaha menghasilkan kereta yang lebih baik, anak syarikat TMC, GAZOO Racing telah menambah baik jentera Toyota serta melatih kakitangannya menerusi aktiviti-aktiviti sukan bermotor seperti 24 Hours of Nürburgring dan Kejohanan Rali Seluruh Jepun. 

Siri GR dibangun menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti sukan bermotor tersebut. Ia dipersembahkan dalam rangkaian model tertinggi yang dikenali sebagai GRMN, GR (pertengah) dan GR SPORT (entry-level).

Ditawarkan dalam jumlah terhad, jentera GRMN menampilkan enjin yang ditala khas. Produk GR tetap mengekalkan intipati GRMN. Sementara varian GR SPORT kini boleh didapati pada model minivan. 

Bukan itu sahaja, barangan aftermarket GR PARTS turut ditawarkan untuk membolehkan pemandu merasai keseronokan mengubahsuai kereta masing-masing. 

Untuk peringkat awal, siri GR dan GR SPORT didatangkan pada model Vitz. Kemudian, varian GR SPORT akan diluaskan kepada model-model seperti Prius PHV, Harrier, Mark X, Voxy dan Noah. Semuanya sudah berada di bilik pameran Toyota di seluruh Jepun mulai hari ini. 

Model Vitz GRMN, 86 GR, Aqua GR Sport dan Prius α GR SPORT bakal ditambah menjelang musim bunga dan sejuk nanti. 

Selari dengan pelancaran siri GR, TMC dijadual membuka satu rangkaian kedai GR Garage yang bertindak sebagai pusat serantau buat TOYOTA GAZOO Racing. Ia bertujuan membawa keseronokan dunia pemotoran kepada lebih ramai pengguna.  

BACA: TOYOTA RANCANG BINA RANGKAIAN KERETA SPORTS, INGIN KEMBALIKAN NOSTALGIA 90-AN

Kedai-kedai AREA 86 yang ada di seluruh Jepun akan dijenamakan semula sebagai GR Garage dan dijangka mula beroperasi dalam tempoh tahun fiskal 2017. 

GALERI

Google ads
Back to top button