Motosikal

POLIS KAJANG BURU SAMSENG JALANAN SEPAK PENUNGGANG MOTOSIKAL DI KAJANG

Polis Kajang sedang mengesan pemandu kereta yang dirakam mengasari seorang penunggang motosikal termasuk menendang mangsa dalam kejadian yang dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Bandar Teknologi Kajang, Selangor.

Selain suspek, pihak berkuasa juga sedang mengesan mangsa terbabit.

Sejak semalam, tular satu klip video berdurasi 58 saat yang menunjukkan suspek bertindak kasar seperti samseng jalanan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu dirakam pengguna jalan raya yang berada di lokasi berkenaan.

“Semakan dilakukan polis mendapati tidak ada sebarang laporan dibuat berhubung kejadian terbabit oleh mana-mana pihak atau individu.

“Susulan itu, satu laporan polis maklumat pertama (FIR) dibuat oleh pihak polis untuk membolehkan siasatan dijalankan bagi mengesan pelaku dan mangsa dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan kepada mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat supaya si pelaku dibawa ke muka pengadilan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenai kejadian itu dan tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Ali Hamzah di talian 019-866 0324 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button