Modifikasi

PROTON PERDANA 4WD

Tahukah anda, jalan penyelesaian untuk memiliki sebuah Evo tanpa perlu bergolok-bergadai adalah beli Proton Perdana lama?

Proton-perdana-evo-mekanika (15)

Masukkan enjin Evo, kemudian padankan dengan transmisi pacuan empat roda sepenuh masa! Sebenarnya, Perdana lama (model SEi) memang ada ruang untuk masuk long shaft 4WD dan cagak gandar belakang.

Jadi, kalau anda nak buat projek Perdana 4WD, pastikan beli chasis model SEi dan bukannya V6.

Proton-perdana-evo-mekanika (19)

Sebab itulah abam Kamal memilih Perdana SEi keluaran tahun 1995. Tema projeknya senang, enjin mau power, handling mesti mantap dan kereta nampak ganas.

Satu perkara lagi yang best pasal Perdana model lama ini ialah enjinnya. Ya! Enjin asal Perdana ialah 4G63 jenis camshaft tunggal. Satu spesis dengan enjin 4G63 yang ada pada Galant VR4 dan Lancer Evo.

Proton-perdana-evo-mekanika (4)

Kamal memilih enjin Lancer Evo II sebagai asas projeknya. Blok enjin dibaraikan terlebih dulu sebab nak masuk set piston baru yang diambil daripada enjin Toyota 2JZ-GTE.

Set-set piston itu kemudian digabungkan dengan conrod VR4. Semua bearing utama enjin diganti dengan bearing jenis perlumbaan King Bearings. Kepala silinder enjin dikekalkan dan dipasang sepasang cam pulley boleh laras buatan custom.

Proton-perdana-evo-mekanika (5)

Turbo asal enjin diletak di atas manifold custom jenis pisang dengan wastegate external Turbosmart berdiameter 38mm. Penapis udara asal enjin diganti dengan penapis udara HKS.

Paip-paip intercooler baru dibina khas dengan sebuah intercooler custom yang diubah suai daripada enjin lori Scania. Perdana ini menggunakan paip ekzos saluran terus tiga  inci dengan peredam bunyi HKS Super Drager.

Proton-perdana-evo-mekanika (6)

Sistem pancitan bahan api pula dinaik taraf dengan pam Walbro serta pelaras bahan api Tomei. Untuk mendapat percikan api yang sempurna, semua kabel plug diganti dengan kabel plug Ultra. Pelarasan talaan enjin disempurnakan oleh ECU boleh program GReddy e-Manage yang disambung dengan ECU asal enjin.

Kotak gear asal Evo II dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa dikekalkan.Klac pula guna klac jenis perlumbaan D&D. Kotak gear kemudian disambung dengan long shaft dan gandar belakang daripada model Galant Eterna Turbo, iaitu sepupu Perdana yang menggunakan sistem pacuan empat roda.

Proton-perdana-evo-mekanika (3)

Dengan enjin dan kotak gear Evo II disalin dengan sempurna, tak keterlaluan saya  katakan Perdana ini berprestasi macam Evo II yang asli, cuma mungkin sedikit berat. Paling penting, kuasa  enjin dapat disampaikan kepada keempat-empat roda. Ini menjamin prestasi pemanduan yang cemerlang dan selamat.

Untuk membantu pengendalian kereta, Perdana ini menggunakan penyerap hentak boleh laras GAB. Kuasa membrek dibantu oleh set brek cakera 4 pot Toyota Aristo.

Proton-perdana-evo-mekanika (1)

Membuatkan kereta ini nampak lagi ganas ialah pemilihan rim-rim Rota berdiameter 18×9 inci untuk bahagian depan dan 18×10 inci di belakang. Rim-rim berwarna Barney itu dibalut dengan tayar bersaiz 235/40.

Penampilan jentera ini diserlahkan dengan bodykit lengkap Perdana V6 Enhanced dan skup udara Evo II. Spoiler Mirage Asti ditambah pada bonet belakang. Di atas bumbung, sunroof  Toyota berjaya ditebuk.

Proton-perdana-evo-mekanika (8)

Bahagian kabin, kereta inimenggunakan banyak aksesori JDM. Papan pemuka Eterna yang datang lengkap dengan sistem kawalan pendingin hawa elektronik dipasang. papan pemuka juga nampak meriah dengan meter-meter Defi.

Sebuah turbo timer Pivot menjadi aksesori wajib dipasang untuk menjamin kelangsungan hidup turbo kereta ni. Akhir sekali, stereng dari Momo digunakan sebagai ganti stereng asal yang kurang sporty.

Proton-perdana-evo-mekanika (17)

Dengan kos yang agak rendah, terbukti kita boleh menikmati kekuatan enjin 4G63 turbo dengan selamat. Kereta ini bukan sahaja laju, malah selesa untuk perjalanan harian atau balik kampung.

Google ads
Back to top button