Buletin

PROTON X50 CATAT LEBIH 20,000 TEMPAHAN DALAM MASA 2 MINGGU!

Proton mendedahkan bahawa SUV kompak terbaharunya, X50 telah mencatat tempahan lebih 20,000 unit hanya dalam tempoh dua minggu. 

X50 memulakan produksi di kilang Proton di Tanjung Malim dan tempahan dibuka pada keesokan harinya. Jumlah itu nyata melepasi jangkaan Proton. 

“Proton ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat mendalam terhadap X50. Kami akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran demi memenuhi permintaan pelanggan untuk tiga bulan terakhir tahun 2020. 

“Pada masa sama, kami tidak akan berkompromi dari segi kualiti produk,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah. 

X50 bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5 TDGI Flagship.

Jentera tersebut dikuasakan oleh dua pilihan enjin tiga selinder, sama ada 1.5 liter turbo berkuasa 148hp atau 1.5L T-GDI yang mampu menjana kuasa 175hp. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar 7-kelajuan. 

Tawaran terkini Proton itu mendapat perhatian ramai kerana dilengkapi pelbagai ciri tercanggih. Antaranya ialah sistem bantuan pemanduan ADAS, Auto Park Assist, Blind Spot Warning dan banyak lagi. 

Terdapat enam warna untuk anda pilih iaitu merah, oren, biru, kelabu, perak dan putih. 

Google ads
Back to top button