Buletin

PROTON X50 DIDEDAH SECARA RASMI. 4 VARIAN, GKUI E01, BOLEH TEMPAH MULAI ESOK

Seperti yang pernah kami maklumkan sebelum ini, Proton akhirnya mendedahkan SUV Proton X50 kepada media di pusat pengeluarannya di Tanjung Malim.

SUV yang sememangnya ditunggu ramai itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada bulan depan.

Dianggarkan berharga sekitar RM80,000 hingga RM95,000 seunit, X50 hadir dalam empat varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5 TDGI Flagship.

Spesifikasi ringkasnya adalah seperti berikut:

SUV kompak tersebut bakal hadir dalam dua pilihan enjin tiga selinder, sama ada 1.5 liter turbo berkuasa 148hp atau 1.5L TGDI yang mampu menjana kuasa 175hp.

Ia merupakan enjin yang sama digunakan pada Volvo XC40 dan dipadankan bersama kotak gear klac berkembar 7 kelajuan. 

Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman memberitahu gayaan X50 dipengaruhi oleh identiti dan DNA bahasa rekaan baharu Proton. Infinite Weave pada bahagian grilnya kini lebih bersifat tiga dimensi, bersama kemasan berwarna merah untuk menjadikannya lebih sporty.

Bahagian sisi pula menonjolkan elemen pergerakan dan emosi melalui garis badan harmoni. Bahagian belakang diserikan dengan sepasang lampu tiga bersama rekaan tiga garisan. Di samping penggunaan dua tip ekzos agar SUV ini nampak lebih sporty.

Ruang kabin menyerlah dengan kemasan dua tona dan penggunaan material berkualiti tinggi. Maklumat pemanduan dipaparkan pada skrin infohibur dengan sistem ketersambungan GKUI 19 terkini yang lebih laju dan lancar.

Sekali pandang, X50 menampilkan reka bentuk luaran yang agresif. Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril radiator infinite weave yang diapit oleh sepasang lampu utama LED nipis.

X50 menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan saiz tayar 215/55 R.

SUV kompak itu didatangkan dalam enam pilihan warna iaitu merah, oren, biru, kelabu, perak dan putih.

Jika berminat, tempahan X50 sudah dibuka mulai esok (16 September 2020) dengan hanya yuran sebanyak RM500 sahaja. Sementara acara prebiu akan dilakukan ei beberapa lokasi terpilih bermula19 September.

GALERI

Google ads
Back to top button