
PROTON CATAT JUALAN 109,716 UNIT PADA 2020. PENINGKATAN 8.8 % BERBANDING 2019
Biarpun, berdepan pandemik Covid-19, PROTON masih mampu mencatat jualan sebanyak 109,716 unit kenderaan sepanjang tahun 2020.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 8.8 % berbanding jualan keseluruhan tahun 2019 iaitu 100,821 unit.
Menurut kenyataan PROTON, syarikat terbabit merupakan satu-satunya syarikat automotif yang berjaya mencatat penambahan di negara terutama apabila para pemain industri terpaksa menghentikan pemasangan dan penjualan selama lebih dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bahagian pasaran pula dianggarkan bertambah sehingga 21.1%, bersamaan dengan satu penambahan yang ketara sebanyak 4.4%.
“Pemacu utama pertumbuhan jualan merupakan model Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES) manakala prestasi Proton X50 melebihi jangkaan walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan.
“Kesemua model PIES telah dikemas kini secara meluas pada 2019 dan pelaburan itu memberi hasil dengan setiap model mencatatkan penjualan lebih tinggi walaupun tahun ini dijejaskan oleh wabak koronavirus.
“Apabila digabungkan dengan penambahan eksport sebanyak 49.8%, ini membolehkan PROTON mengatasi tren industri automotif Malaysia yang dijangka menguncup sebanyak 13%,” kata kenyataan itu lagi.

Proton Saga kekal sebagai penjual utama 2020 manakala pelancaran Proton X50 serta penjualan laris Proton X70 bergabung untuk menjadikan Proton jenama SUV nombor satu di negara ini.
Sedan segmen-B paling laris di Malaysia pula merupakan Proton Persona dengan jualan mencecah 23,917 unit. Proton Exora pula merupakan MPV segmen-C di tangga teratas dengan jualan 5,849 unit.
Model Proton Iriz menduduki tangga ketiga bagi kelas hatchback segmen-B iaitu sebanyak 7,636 unit.

Dalam pada itu, bahagian eksport PROTON melakar kejayaan pada 2020 walaupun terdapat banyak halangan bagi pergerakan barangan secara global.
Pada Disember lalu, pelancaran Proton Saga pasangan tempatan (CKD) yang pertama di Kenya dan pelancaran model itu bersama Proton X70 di Pakistan.
Kedua kenderaan akan dijual secara import sepenuhnya (CBU) sebelum ia dipasang siap di kilang baru di Karachi tahun ini.
Model Saga turut memasuki pasaran negara Mesir dan Bangladesh manakala X50 dilancarkan di Brunei.

“Kami bersyukur kerana berjaya mencatatkan prestasi yang tinggi pada 2020.
“Prestasi kami disokong oleh banyak faktor termasuk kepercayaan dari pelanggan, sokongan oleh kerajaan, komitmen dari vendor, ketahanan pihak penjual dan ketekunan kakitangan kami, “kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong.
- BACA: PROTON BAKAL LANCAR SAGA DI BANGLADESH DAN MESIR. PERKENAL X50 DI BRUNEI
- BACA: GEELY JIAJI: PENGGANTI PROTON EXORA? APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI
- BACA: PROTON CATAT JUALAN 11,411 UNIT KENDERAAN PADA NOV 2020. PENGUASAAN PASARAN 20.1%
- BACA: BETUL KE SUSAH JUAL KERETA ZAMAN COVID-19 NI? KITA TANYA TOP SALES DEALER PROTON, SETIA GEMILANG AUTO