" "
Buletin

RANGE ROVER KAPTEN ENGLAND BERNILAI RM544,095 KENA REMBAT

Jentera Range Rover milik bintang England dan Tottenham Hotspurs, Harry Kane yang bernilai £100,000 (RM544,095) dilarikan pencuri pada siang hari.

Sekumpulan pencuri dipercayai menyasarkan kenderaan itu selepas ia dirakam beberapa kali menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kenderaan berkenaan dilarikan berdekatan Chingford, Timur London.

CCTV menunjukkan sebuah kereta dipandu melepasi kenderaan mewah Kane beberapa kali bulan lalu.

Penjenayah berkenaan dipercayai menggunakan peralatan elektronik untuk membukanya sebelum melarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.

Kane, 27, merupakan pemain ketiga Spurs yang berdepan insiden rompakan sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum ini rumah rakan sepasukan, Dele Alli dimasuki pencuri di Utara London dan Jan Vertonghen pula diserang penunggang motosikal bersenjata.

Sumber yang rapat dengan bintang itu berkata Harry merasakan ia menjadi sasaran kumpulan pencuri yang memberi fokus kepada pemain bola sepak.

“Cara rompakan dilakukan tidak menunjukkan ia seperti kebetulan.”

“Pihak polis turut memaklumkan peluang agak tipis untuk menemui semula kenderaan tersebut kerana pencuri berkenaan agak canggih,” katanya. – agensi

Google ads
Back to top button