
REGAS PREMIUM AUTO DEDAH JENTERA KLASIK IKONIK BMW 700 COUPE
Regas Premium Auto mendedahkan jentera klasik BMW 700 Coupé yang merupakan legasi Wolfgang Denzel pada sudut Heritage di pusat pengedaran bertaraf perdana miliknya di Kuching, Sarawak.
Denzel merupakan seorang jurutera automotif dan wakil pengedar bagi jenama BMW di Austria. menjalin kerjasama dengan pereka Itali, Giovanni Michelotti untuk menggubah konsep kenderaan tersebut berdasarkan casis jentera BMW 600 pada waktu itu.
Berbekalkan casis dan suspensi BMW 600, termasuk transmisi empat kelajuan ‘all-synchromesh’, diferensial gear serong, unit kuasa berkembar yang digunakan pada motosikal BMW telah dipertingkatkan daripada 600 cc kepada 700 cc.

Model konsep itu diluluskan pada Oktober 1958 dan menjadi pencetus kepada pengeluaran varian Coupé dan Sedan oleh BMW.
Pada 9 Jun 1959, Lembaga Pengurusan BMW yang diterajui Ketua Eksekutif Dr. Heinrich Richter-Brohm telah mendedahkan BMW 700 Coupé baharu kepada khalyak umum di Feldafing, Munich, Jerman.
Pengenalan jentera berkenaan diraikan di serata dunia kerana ia mampu mengekalkan tahap kelajuan dan pecutan tertinggi seperti model terdahulu malah berupaya melakukannya dengan ruang lebih besar tanpa berat berlebihan.

Pengeluar kenderaan premium itu berjaya menyerahkan lebih 35,000 unit kenderaan pada tahun 1960 dan BMW 700 mencatatkan 58% daripada pendapatan keseluruhan jenama berkenaan.
Penyerahan jentera BMW 700 mencecah 190,000 unit menjelang akhir tahun 1965.
Biarpun, dikeluarkan selama enam tahun, jentera yang jarang ditemui dan unik ini memperoleh status ikonik dalam sejarah BMW Group dan ia masih menambat hati ramai peminat BMW sehingga ke hari ini.

Prinsipal Pengedar di Regas Premium Auto Kuching, Gavin Tay, berkata BMW 700 Coupé merupakan sebuah jentera abadi dan yang serba klasik dalam sejarah BMW Group.
“Kami sangat teruja mempamerkan kenderaan ikonik ini di Regas Premium Auto. Apa yang menariknya ialah BMW 700 Coupé merupakan jentera BMW yang pertama menampilkan struktur monokok dan ia telah membantu BMW keluar daripada kancah kemuflisan pada tahun 1959.

“Walaupun 50 tahun sudah berlalu sejak keluaran terakhirnya, model ini telah melakar legasi dalam dunia automotif bagi kenderaan kecil, sporty dan bertaraf premium yang masih digemari peminat BMW,” katanya.
Orang ramai boleh melihat sendiri jentera klasik ikonik BMW 700 Coupé secara eksklusif di bahagian Heritage oleh Regas Premium Auto.
Layari https://www.bmw-regas.com.my/ atau hubungi 082-467777 untuk mendapati butiran mengenai waktu kunjungan bagi seksyen Heritage ini dan membuat temujanji.