Buletin

SAYA MASIH BELUM BERSEDIA UNTUK SERTAI PASUKAN KTM – REMY GARDNER

Remy Gardner mengesahkan khabar angin bahawa dia dirisik oleh pasukan KTM untuk menyertai mereka dalam musim MotoGP 2020.

Pelumba kelahiran Australia yang juga anak kepada bekas juara dunia 500cc, Wayne Gardner itu mencatat podium kali pertama dan posisi pole dalam perlumbaan Moto2 musim ini.

Namun, dia berasakan masih belum bersedia untuk berpindah ke kelas premier.

“Perkara ini (pertanyataan daripada KTM) berlaku apabila saya menunjukkan prestasi baik di Austria. Pengurus saya ada menyatakan bahawa dia menjangkakan panggilan daripada KTM. Tetapi apa yang kami fikir?

“Saya fikir saya mahu terus berlumba dalam Moto2 setahun lagi. Saya suka bersaing dan ingin mendapat keputusan lebih baik. Lagipun, kontrak dengan pasukan SAG Racing masih berbaki dua tahun.

“Saya gembira dengan pasukan ini dan mahu pengalaman berlumba setahun lagi. Jadi, saya rasa lebih elok jika kekal di Moto2,” kata Gardner.

Litar Austria sebelum ini menyaksikan pelumba pasukan factory KTM, Johann Zarco ingin meninggalkan pasukan tersebut.

Namun, Gardner memberitahu dia tidak tahu sama minat KTM untuk mendapatkan khidmatnya itu adalah untuk pasukan factory atau Tech3.

“Mereka hanya tunjukkan minat. Tidak lebih daripada itu,” katanya lagi.

Pelumba berusia 21 tahun yang pernah berlumba untuk pasukan Tech3 dalam Moto2 ketika pasukan tersebut menggunakan chasis sendiri. Dia mengakui sasaran jangka panjangnya adalah untuk berada dalam MotoGP, tetapi perlu membuktikan keupayaan dirinya sendiri dahulu.    

“Sudah pasti ia bergantung kepada apa yang berlaku di sini. Namun, secara peribadi saya rasa lebih sesuai menunggang jentera MotoGP berbanding Moto2. Saya mempunyai fizikal yang besar dan berat, sebab itulah setiap kali menunggang motosikal yang lebih besar, ia rasa lebih mudah.   

“MotoGP sememangnya menjadi impian semua pelumba. Tetapi kami perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan prestasi dan mendapatkan keputusan yang baik,” tambahnya lagi.

Gardner yang mengalami kecederaan di litar Jerez kini berada di kedudukan ke-12, musim terbaiknya dalam perlumbaan grand prix setakat ini.

Google ads
Back to top button