Artikel Pilihan

SIAPA YANG CIPTA KAWALAN GESTUR NI? TOLONGLAH PERGI MENINGGAL

Kawalan gestur ataupun ‘gesture control’ bermaksud anda mengawal fungsi kereta hanya dengan menggunakan isyarat tangan. Ia berbeza dengan fungsi sesentuh kerana ia memerlukan sentuhan fizikal.

Kawalan gestur cuma memerlukan kita membuat isyarat tangan ataupun melambaikan tangan anda untuk mengaktifkan fungsi tertentu  kenderaan anda.

Pada bahagian luaran kereta biasanya digunakan untuk mengawal sistem penggera, cermin tingkap dan sebagainya. Ia merupakan satu inovasi tetapi kami merasakan yang inovasi ini lebih kepada akan membuat manusia menjadi semakin pemalas dan sepatutnya ia tidak perlu ada.

BACA: BMW PANGGIL SEMULA 7 SERIES, PINTU TERBUKA

Nasib baik buat masa ini ia hanya ditawarkan untuk model BMW 7 Series di Amerika Syarikat tetapi ada ura-ura yang menyatakan ia juga akan diperkenalkan kepada Volkswagen Golf. Mungkin ada lagi model lain yang akan menyusul selepas ini.

Ok. Kenapa kami tidak suka dengan teknologi ini? Adakah sebab kami dari generasi lama maka kami sukakan teknologi yang sudah antik?

Sekarang kami bagi contoh kenapa kami rasakan teknologi ini agak mengarut. Kita ambil contoh BMW 7 Series model terbaru yang ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat lengkap dengan kawalan gestur tadi.

Sistem tersebut membolehkan pemandu mengawal pembesar suara sistem audio, menjawab panggilan telefon dan menukar sistem infotainment dengan putaran tombol, beberapa kali menekan dan sentuhan tangan.

Ia berfungsi cukup baik dengan cara tersebut sebagaimana yang anda inginkan tanpa menekan butang secara konvensional.

Namun kawalan gestur pula memerlukan anda mengerakkan keseluruhan tangan anda di tengah-tengah kereta seolah-olah sedang menari raver (ok itu melampau sedikit tetapi gerakan tangan memang diperlukan).

Adakah dengan menggerakkan tangan anda seperti membuat bahasa isyarat dalam pertandingan kuiz adalah lebih menyenangkan daripada menyentuh skrin, memusing tombol ataupun menekan butang fungsi pada roda stereng anda?

Tentu tidak bukan?, silap-silap orang belakang akan menyangkakan yang anda sedang membuat senaman memanaskan badan sebelum pergi berlatih yoga.

Itu baru satu fakta. Fakta lain pula ialah kawalan gestur tidak akan memberikan tindakbalas ataupun kawalan yang tepat sebagaimana sistem kawalan konvensional sebelum ini.

Contohnya jika ingin mengawal pembesar suara, ia boleh dilakukan dengan menggunakan suis sesentuh ataupun tombol.

Dengan sedikit gerakan kita sudah mampu mengubah tahap kekuatan pembesar suara tetapi dengan kawalan gestur, membengkokkan tangan anda sebanyak lima darjah mungkin hanya menaikkan kekuatan pembesar suara sebanyak satu bar.

Lebih teruk jika kita perlu menggerakkan tangan anda sehingga 10, 20 ataupun 30 darjah. Dengan kata lain kerja yang sebelum ini mudah akan jadi bertambah payah dengan adanya teknologi sebegini.

Baik. Kenapa kami begitu yakin yang teknologi ini patut dan akan mati satu hari nanti? Kenapa tidak? Kerana Microsoft juga pernah menghasilkan permainan dengan konsep yang sama sebelum ini, ia juga tidak bertindak dengan tepat seperti sepatutnya.

Mula-mula konsep ini diperkenalkan oleh Nintendo untuk model Wii, kemudian diikuti oleh Microsoft dengan Kinect untuk Xbox 360 dan kemudiannya untuk Xbox One.

Sekali lagi ideanya cukup menarik tetapi ia memerlukan usaha yang lebih berbanding menggunakan kawalan butang dan tomboh seperti biasa ia bukannya alternatif yang bijak. Masalah paling utama ialah ketepatan dan kepantasan ia bertindak balas.

Malah kalau semasa bermain permainan video pun ia sudah sedikit sebanyak menyusahkan dan mengakibatkan anda terbunuh semasa tengah sedap-sedap layan games, adakah anda mahu sistem yang sama diaplikasikan sewaktu anda memandu di dalam kereta?

Ambil contoh gerakan yang perlu dilakukan untuk mengawal pembesar suara kereta anda. Dengan kawalan konvensional ia hanya memerlukan kurang dari 5 saat berbanding beberapa saat bahkan sehingga 15 saat dengan kawalan gestur.

Ia juga bermaksud pemandu boleh kehilangan tumpuan terhadap pemanduan selama 15 saat dan ini sangat berbahaya.

Jadi bagi kami kawalan gestur memerlukan usaha yang lebih, kurang tepat, lambat bertindak balas selain mampu mengalih perhatian sewaktu memandu dan sangat merbahaya.

Jika anda rasa ia mempunyai nilai positif boleh komen kepada kami kerana setakat ini kami belum menjumpainya. Jadi untuk keselamatan kita semua dan pengguna jalanraya lain, tolonglah hapuskan teknologi kawalan gestur ini sebelum ia merebak kepada Saga, Myvi dan Bezza misalnya.

SUMBER AUTOBLOG

 

 

Google ads
Back to top button