Artikel Pilihan

SKODA FABIA R5 – KECIL-KECIL CILI API

Jenama Skoda di tempat kita barangkali terlalu asing. Nak buat modal sembang kedai kopi sambil pun payah tak ada idea. Pengeluar dari Czech ini mempunyai sebuah kereta supermini yang laju dan telah disumpah untuk menjadi kereta rali yang super laju, Fabia R5!

BACA : MITSUBISHI MIRAGE R5: SI COMEL JELMAAN LAGENDA EVO

BACA : PROTON AKAN KEMBALI KE KEJOHANAN RALI DUNIA 2018 DENGAN IRIZ R5

Skoda Fabia R5 yang berasaskan Skoda Fabia generasi ketiga ini telah dibina sendiri oleh pihak Skoda Motorsports. Daripada sebuah kereta supermini bajet comel, langsung berubah karektornya kepada sebuah jentera yang laju dan buas. Ianya sememangnya direka untuk beraksi dalam saingan rali, baik bersaing dalam APRC, ERC hatta WRC-2 sekali pun.

Dalam saingan WRC-2 musim 2016, jentera Fabia R5 ini berjaya muncul juara sebanyak 10 kali daripada 13 pusingan keseluruhan yang dilangsungkan. Manakala musim 2017 ini jentera ini masih lagi cemerlang dengan mengungguli 10 pusingan daripada 12 pusingan setakat hari ini, dengan diketuai oleh pasukan utama Skoda Motorsports.

Fabia R5 ini secara ringkasnya mempunyai saiz dengan panjangnya 3,994 mm dan lebar 1,820 mm. Beratnya pula hanya 1230 kg. Apa yang menarik tentang pembinaan enjin bagi melayakkan ianya bersaing dalam kategori R5, pihak Skoda telah menggunakan enjin 1.8 liter, EA 888 yang dibina di China.

Enjin daripada kalangan sanak saudara Volkswagen yang dipilih ini telah dikurangkan menjadi 1.6 liter dan dilengkapi pengecas turbo milik Audi S3 yang telah diubah suai supaya mampu menghasilkan kuasa 205 kW serta tork maksimum 420 Nm. Walau bagaimanapun hanya 1.5 bar sahaja dibenarkan oleh pihak FIA. Itu belum lagi ketetapan seperti penggunaan kompenan asal yang harus digunakan daripada model produksi massa bagi melayakkan ianya bertanding dalam kategori R5 ini.

Lain-lain pengubahsuaian terhadap enjin milik Volkswagen Lamando ini termasuklah sistem bahan api yang telah dipertingkatkan dengan penggunaan pam bertekanan tinggi dan juga suntikan nozel bagi memastikan kejadian pemandu tersadai di bawah pokok akibat masalah minyak tidak sampai dapat dielakkan.

Bagi memastikan pemandu berupaya mencatatkan masa terpantas dalam setiap SS, penggunaan kotak gear sequential lima kelajuan adalah wajib. Dapat jimat dalam beberapa saat pun dah boleh bezakan antara kedudukan juara dan bukan juara.

Sesungguhnya, kehandalan Fabia R5 ini tidak perlu lagi dipertikaikan di serata dunia. Banyak juga pasukan persendirian yang telah memesan untuk dijadikan sebagai pahlawan bagi menakluki saingan rali di peringkat kampung mahupun di peringkat benua.

Pada awal Januari yang lalu, Skoda Motorsports telah pun menyiapkan tempahan yang ke 100 bagi Fabia R5 ini. Tempahan ini diterima daripada Erik Wever yang berpangkalan di Belanda. Jumlah tempahan yang diterima ini membuktikan bahawa jentera Fabia R5 cukup handal dan laju untuk bersaing di mana-mana peringkat sekalipun. Kejuaraan WRC-2, tiga kejuaraan peringkat benua serta 10 siri kejuaraan peringkat kebangsaan sudah berjaya diraih.

Dengan harga Euro 180,000 (RM879,001) anda dah boleh pesan sebuah untuk guna buat berlumba atau pun pusing town hujung minggu. Tak adalah mahal mana sebenarnya. Itu pun kalau anda level Sultan lah kan.

Google ads

B K

Back to top button