Buletin

SUV MEWAH MERCEDES-MAYBACH GLS 600 4MATIC MENDARAT DI MALAYSIA. HARGA BERMULA RM1.7 JUTA

Mercedes-Benz Malaysia mendedahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah terbaharu Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic di pasaran tempatan.

SUV menggabungkan keunikan keselesaan, teknologi dan kemewahan itu ditawarkan pada harga bermula RM1,789,453.18.

Mercedes-Maybach GLS 600 merupakan kombinasi rekaan badan dan teknikal GLS yang menampilkan aspek kemewahan seumpama salun mewah.

Jentera terbaharu itu hadir dengan teknologi lampu utama LED MULTIBEAM dipadankan gril krom vertikal yang dilengkapi lencana Maybach pada bahagian atas.

Selain itu,  terdapat gril bawah yang berbentuk jaring halus digabungkan dari kiri sehingga kanan bahagian bampar jentera dengan kemasan berwarna hitam berkilat.

Ia turut mendapat sentuhan krom pada ruang tengah bampar depan pada bahagian bawah gril krom berkenaan.

SUV berkenaan juga dilengkapi rel bumbung dan bumbung panoramik dalam menyerlahkan lagi sisi kemewahan jentera itu.

Ketinggian jentera tersebut akan direndahkan ketika pintu dibuka malah terdapat program pencahayaan untuk keselamatan pemandu dan penumpang.

Ruang dalaman pula, Mercedes-Maybach menggunakan dimensi GLS yang luas menawarkan tempat duduk selesa untuk pemandu serta penumpang.

Kesemua tempat duduk dalam jentera baharu itu boleh dilaras secara elektrik, dipanaskan, beriklim malah dilengkapi fungsi urutan.

Bahkan, tempat duduk boleh dikawal dengan menggunakan MBUX Command Center Rear.

Selain itu, terdapat juga Executive Rear yang boleh digunakan sebagai pejabat atau zon santai peribadi.

Mercedes-Maybach GLS 600 mendapat khidmat enjin petrol hibrid 8-silinder konfigurasi V 4 liter (3,982cc).

Ia mampu menjana kuasa 557hp antara 6,000rpm hingga 6,500rpm dan tork 730Nm antara 2,500rpm-5,000rpm.

SUV terbaharu itu turut didatangkan motor elektrik, alternator pemula generasi kedua menawarkan kuasa 16kW dengan daya tork 250Nm yang dipadankan transmisi 9G-TRONIC.

Untuk keterangan lanjut mengenai Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic boleh melayari www.mercedes-benz.com.my

Google ads
Back to top button