
SUZUKI SX4 – CROSSOVER YANG DILUPAKAN
Sejujurnya, Suzuki mempunyai rangkaian produk yang bagus dan mampu menepati kehendak dan keperluan masyarakat terutamanya dalam segmen pengkhususan kenderaan kompak. Swift, Jimny, dan Alto antara produk yang bagus ditawarkan kepada pembeli. Dan sekitar 10 tahun yang lalu, Suzuki pernah mengeluarkan sebuah Crossover, SX4 nama diberi.
BACA : RIWAYAT HIDUP – AKU SEBUAH SUZUKI KIZASHI
BACA : SUZUKI WAGON R GEN-6 BAKAL DILANCARKAN AWAL TAHUN DEPAN DI INDIA – HARGA BERMULA RM23K SAHAJA
Ketika ianya mula – mula sampai di Malaysia, ramai juga yang seakan pelik melihatkan kelibat kereta yang berbentuk hatchback ini. Macam Myvi pun ada. Tapi apa pasal tinggi pula ni? Crossover yang kelihatan unik ini telah direka oleh pereka kereta terkemuka Itali, Giorgetto Giugiaro.
Menariknya tentang Suzuki SX4 ini, ianya dibina secara bersama dengan pihak Fiat. Hasilnya, lahirlah Fiat Sedici, yang dihasilkan di Magyar Suzuki Corporation, Hungary. Bila dah lahir di Eropah, sudah tentulah pasaran utama Fiat Sedici ini di benua Eropah. Strategi perniagaan barangkali.
Berbanding pasaran luar yang mempunyai kapasiti enjin antara 1.5 liter – 1.6 liter, di Malaysia ianya hanya dibekalkan dengan enjin M16A yang bersesaran 1.6 liter. Namun ianya dianggap sedikit lemau di atas kertas. Namun, sebagai sebuah Crossover, sudah tentu kuasa maksimum bukanlah matlamat utama. Yang penting, praktikaliti untuk memandu kenderaan untuk memandu meredah belukar kecil sesekali pulang ke kampung misalannya. Tapi percayalah, pembelinya ketika itu lebih kepada golongan eksekutif muda yang lebih gemar meredah hutan batu dan juga panjat divider jalanraya.
SX4 ini ketika itu turut mempunyai dua buah beg udara di bahagian, selain daripada ABS, EBD, dan BA sebagai ciri keselamatan. Pemain utama pula bolehlah nak sumbat Cakera Padat dengan keupayaan MP3. Iyalah, zaman Neolitik dahulu Skirn Sesentuh dianggap benda premium. Cuma harga baharunya ketika itu dianggap mahal untuk sebuah kenderaan yang bersesaran 1.6 ltier. Tapi kalau submit loan RM90,000 untuk sebuah kereta yang dibawa masuk ‘seketul’ dari Jepun pasti dianggap berbaloi oleh peminat tegarnya ketika itu.
Sebetulnya selain daripada model Crossover, SX4 ini juga turut ditawarkan dengan model sedan kepada pengguna. Namun sayang, disebalik kedua – dua produk yang sama bagus, ianya masih kurang mendapat sambutan daripada masyarakat Malaysia ketika itu. Payah juga nak menjual logo S ini rupanya.
Jadi, jangan hairanlah seandainya generasi kedua SX4 ini langsung tidak kelihatan di bumi kita ini. Hmmmm.