
SYUKURLAH 10 KERETA KONSEP INI TIDAK DIPRODUKSIKAN – BURUK BENAR WEH
Kereta konsep ataupun juga dipanggil model konsep merupakan langkah pertama pengeluar kenderaan untuk melihat sama ada model tersebut akan diterima ramai ataupun tidak. Biasanya juga ia akan disumbat dengan segala teknologi terkini dan diberikan sentuhan akhir agar kelihatan cukup menawan sebelum betul-betul diproduksikan.
Tapi itulah, kadang-kadang ada juga syarikat pengeluar kenderaan yang suka bergurau dan dengan selamba badak airnya menayangkan model-model konsep yang merapu lagi tak masuk akal. Ia biasa dipangil dengan nama ‘design studies’. Nak study apa kalau dah buruk benar macam ni. Ini ada 10 contoh yang tak tahulah nak cakap apa. Dah la abang tengah puasa ni.
Suzuki Q-Concept
Cubaan menggabungkan kereta dan motosikal memang sudah lama dilakukan. Tapi masalahnya sehingga kini ia tidak pernah berjaya. Suzuki Q-Concept ini satu lagi contoh tapi memang fail betul ni. Bukan hanya ia kelihatan seperti kereta mainan kanak-kanak tapi ia juga mempunyai jarak operasi lebih kurang 10 kilometer. Eh Honda Fame buruk PokYa kat kampung boleh tunggang sampai ke Golok tahu walaupun dah berkarat atas bawah.

Mercedes-Benz Vision Tokyo
Sebut nama Mercedes kita dah bayangkan model-model elegan keluaran mereka. Jadi bila model konsep ini dikeluarkan, ramai yang dah mula garu kepala. Ini ke visi mereka di masa akan datang? Sudah-sudahlah guna konsep gril besar gedabak tu. Bukan semua kereta sesuai taruk gril besar-besar ni.

Dodge Super8 Hemi
Idea asal Dodge ialah untuk menggabungkan gaya tahun 50an pada kereta-kereta moden keluaran mereka. Atas kertas memang nampak solid je kan idea ni tapi bila Dodge mula menayangkan Super8 Hemi pada tahun 2001 dulu kita mula nampak yang idea ini agak merapu. Tapi okey jugak la sebab kereta ini pernah dimasukkan dalam permainan video zaman itu. Kalau kat luar ada ke orang nak pandu kereta bentuk macam ni? Kalau bagi free okey kot?

Citroen Karin
Tak sama langsung dengan Maya Karin ataupun Datuk Karin. Kita tahu yang kereta-kereta Citroen memang sarat dengan ciri inovatif tapi yang satu ni memang ke laut betul la. Bumbung dia pun sama besar dengan sekeping tile lantai rumah abang je dik.

Sbarro 4×4+2
Geneva Motor Show memang sarat dengan kereta-kereta konsep yang menonjol dan inilah satu daripadanya, Sbarro off-road. Hebat kan? Hebat dan buruk. Kira dua adalam satu la ni. Yang kelakarnya, ia diasaskan daripada Porsche Cayenne. Cayenne ni memang takdelah cantik sangat untuk sebuah SUV tapi Sbarro membawa imej buruk ke tahap yang lebih tinggi.

Art & Tech Lamborghini Sogna
Sewaktu Ryoji Yamazaki, seorang pereka muda dari Jepun ingin menghasilkan kereta sports pertama beliau, beliau sebenarnya mempunyai banyak pilihan kereta sports dari Jepun untuk dijadikan model asas. Tapi beliau memilih Lamborghini Diablo sebagai asas rekaan. Diablo asal diolah kembali mengikut kepala beliau dan lahirlah model konsep ini yang akan diingat sepanjang zaman sebagai contoh yang tidak wajar diikut.

Diablo asal punyalah cantik dan menjadi poster dinding kami zaman muda-muda dulu (sekarang takdelah tua sangat okey) tapi bila diubahsuai oleh si Ryoji ni terus nampak macam kepala ular dari depan. Harap korang tak muntah hijau la bila tengok kereta ni dari belakang. Mintak nyawa mintak nyawa.

Porsche C88
Mungkin ramai yang akan berkata, yang ini takdelah teruk sangat macam yang lain. Tapi ia terpilih di sini kerana ia adalah sebuah Porsche. Korang jangan ingat semua kereta yang dihasilkan Porsche tu segak lagi bergaya okey.
Porsche menghasilkan model ini untuk pasaran China sekitar tahun 90an dulu untuk menjana aliran tunai ke akaun mereka. Ia bukan hanya kelihatan ‘suram’ tetapi sebenarnya memalukan nama Porsche sendiri sehingga mereka tidak sanggup meletakkan nama dan lambang mereka pada kereta ini. Syukurlah ia tidak sempat diproduksikan. Kalau sampai Malaysia rasanya semua pemilik kereta ni akan tampal logo Porsche besar-besar kat atas bonet tu.

Sbarro Autobau
Dua kali Sbarro masuk dalam senarai ni dengan model berbeza. Terer betul diorang ni buat kereta buruk kan? Entahlah nak komen tang mana. Kereta ni nampak murah walaupun sebenarnya menelan kos yang mahal untuk dihasilkan. Kalau dijadikan watak Speed Racer ataupun Wacky Races okey kot? Laman sesawang Jalopnik menggelarkan kereta ini sebagai kereta terburuk sepanjang zaman dan kami pun terpaksa bersetuju dengan mereka.

Toyota Rhombus
Ini merupakan satu contoh model hodoh yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh syarikat seperti Toyota. Ia disasarkan untuk golongan muda di China yang ingin sebuah kereta yang unik tapi bila dilihat sekali imbas ada ke orang yang sanggup keluar duit untuk beli makhluk ni?
Ia merupakan sebuah model elektrik dan boleh diubahsuai pada bahagian dalaman agar pemandu dan penumpang dapat berehat seperti di dalam sebuah lounge. Ye betul tu, lounge yang buruk.

Rinspeed X-Trem MUV
Jika ada sebuah syarikat yang sanggup menghasilkan model konsep yang gila dan mengikut kepala mereka sendiri, Rinspeed ialah syarikat yang kita cari. Tengok sahaja rekaan mereka yang satu ini yang seolah-olah kacukan sebuah kereta, bot dan backhoe. Tiga dalam satu. Dalam bahasa kejuruteraan ia mungkin nampak hebat tapi bila dilihat dengan mata kasar, macam-macam bahasa akan keluar dari mulut korang dan satu pun tak senonoh rasanya.

Kredit hotcars.com