Pandu Uji

TEMPAHAN PRA-PELANCARAN MONDEO DIBUKA

Ford hari ini mengumumkan bahawa pengambilan tempahan pra-pelancaran Mondeo baharu akan bermula pada satu acara prebiu khas di Bangsar Shopping Centre mulai 1 hingga 5 April 2015. 

Ford-Mondeo-booking-2015-mekanika (2)

“Mondeo baharu memberikan lonjakan dinamik kepada barisan produk Ford yang kian berkembang di Malaysia. Dengan teknologi termaju Ford dan reka bentuk yang elegan, Mondeo menawarkan pengalaman pemanduan sofistikated sebagaimana yang diharapkan oleh pelanggan di Malaysia daripada Ford,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran Malaysia, Ford Motor Company, Veemala Rethinasamy.

Rekaan Mondeo yang kemas itu dikuasakan oleh unit enjin 2.0L EcoBoost® berprestasi tinggi. Enjin yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 240PS dan tork 345Nm dengan  penggunaan bahan api cuma 8L/100km itu dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift enam kelajuan yang lancar.

Teknologi EcoBoost® Ford menggabungkan sistem pengecas turbo, pancitan terus dan pemasaan injap boleh ubah untuk mengurangkan sesaran enjin. Ia turut meningkatkan penjimatan bahan api sebanyak 20 peratus dan mengurangkan emisi sehingga 15 peratus berbanding enjin-enjin tradisional yang memiliki prestasi sama.

 Ford-Mondeo-booking-2015-mekanika (1)

Mondeo menampilkan teknologi MyKey Ford yang eksklusif. MyKey menawarkan ketenangan minda kepada para pemiliknya dengan membolehkan mereka memprogramkan kunci tersebut untuk menghalang pelbagai ciri – sama ada untuk diri sendiri atau ketika golongan remaja memandunya.

Mondeo buat pertama kalinya memperkenalkan sistem ketersambungan SYNC 2 Ford ke pasaran Malaysia. Ia merangkumi sebuah skrin sentuh berwarna lebih besar bersaiz lapan inci untuk mengoperasikan sistem hiburan dan telefon menggunakan arahan suara. SYNC 2 tampil dengan pelbagai ciri baharu dan dipertingkatkan, seperti kemampuan mengenal pasti suara lebih baik.

Ford-Mondeo-booking-2015-mekanika (3)

Dinobatkan sebagai penerima anugerah Best Estate Car 2015 oleh pihak What Car? baru-baru ini, Ford Mondeo akan ditawarkan pada harga anggaran RM 203,800 seunit.

Selain di Bangsar Shopping Centre mulai 1 hingga 5 April, Mondeo juga akan dipamerkan di beberapa lokasi lain di sekitar Lembah Klang. Para pelanggan boleh menempah dan memandu uji Mondeo di:

  • 22-26 April: Desa Park City
  • 6-10 Mei: Setia City Mall

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.ford.com.my  atau www.facebook.com/FordMalaysia.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button