Motosikal

TERKINI: BENDA NAPOLEON 500 BAKAL MUNCUL DI MALAYSIA AUTOSHOW 2024

Pasaran motosikal cruiser di Malaysia akan dimeriahkan dengan sebuah model baharu yang dijangka akan masuk Malaysia selewatnya 2025. 

Menurut sumber, MForce Bike Holdings (selaku pengedar rasmi jenama Benda di Malaysia) bakal melancarkan motosikal gaya cruiser, Benda Napoleon 500 serba baharu untuk pasaran tempatan selewatnya tahun depan. 

Lebih menarik, kami dimaklumkan bahawa motosikal cruiser itu akan turut dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei ini di MAEPS, Serdang.

Jenama motosikal dari China itu telah pun melancarkan Napoleon 500 untuk pasaran global sekitar Jun 2023 di Beijing Motorcycle Show. 

Benda sering mencuri tumpuan kebelakangan ini ekoran sering menampilkan motosikal dengan reka bentuk agresif dan luar biasa dan Napoleon 500 tidak terkecuali. Sekali imbas, jelas motosikal ini menampilkan reka bentuk neo-retro dengan lampu hadapan berbentuk bulat dan panel badan yang unik.

Bagaimanapun, apa yang mencuri tumpuan adalah bahagian depan yang menampakkan sejenis pelindung yang menyembunyikan fork teleskopik. Sekali imbas, pelindung tersebut seakan kelihatan seperti fork jenis ‘cantilever’. 

Selain itu, Napoleon 500 ini juga dilengkapi dengan ‘handlebar’ rendah yang dipadankan dengan tempat letak kaki yang kedepan. Kedua-dua ciri ini menyebabkan motosikal ini menawarkan gaya tunggangan ala motosikal ‘bobber’. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • pencahayaan LED penuh
  • rim aloi 16-inci depan dan belakang
  • tangki berkapasiti 16L
  • skrin TFT berwarna
  • ABS dwi-saluran
  • traction control

Untuk rekod, Benda Napoleon 500 dipacu enjin V-Twin 488cc 8-valve SOHC dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menjana 50hp pada 8,500rpm dan 45Nm pada 7,000rpm. Menariknya, Benda meletakkan berat ‘cruiser’ ini pada 196kg sahaja. 

Dalam pada itu, kami turut diberitahu bahawa sebuah lagi motosikal gaya cruiser, Benda LFC700 akan turut dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024. Motosikal berkenaan dijangka menjadi antara lebih 100 unit motosikal baharu yang akan dipamerkan MForce di MAEPS.

Google ads
Back to top button