Buletin

THAI AIRWAYS DIRUJUK KE MAHKAMAH BANKRUPSI

Kerajaan Thailand merancang untuk menghantar pelan pemulihan syarikat penerbangan nasionalnya, Thai Airways International Pcl, ke mahkamah bankrupsi dan tidak meneruskan pelan menyelamat yang telah dirancang sebelum ini.

“Pejabat Perancangan Syarikat Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk melaksanakan pemulihan Thai Airways di mahkamah. Prosedur akan dihantar ke kabinet pada hari ini.

“Ia sama dengan pemfailan Chapter 11 di Amerika Syarikat,” kata jurucakap kerajaan, Narumon Pinyosinwat kepada Reuters. Perincian pelan pemulihan itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Prosedur itu menggantikan pelan menyelamat sebelum ini yang menyaksikan Thai Airways memohon pinjaman yang dijamin kerajaan sebanyak 58.1 bilion baht.

Perkembangan ini membuktikan bahawa Thai Airways International Plc semakin hampir dengan proses penstrukturan semula.

Berikutan penularan wabak COVID-19, kerajaan di seluruh dunia telah membelanjakan lebih AS$85 bilion (RM370.3 bilion) untuk membantu syarikat penerbangan yang terjejas teruk.

Thailand menutup sempadannya sepanjang Mei dan kebanyakan penerbangan antarabangda tidak dibenarkan sehingga hujung Jun. Namun, beberapa penerbangan domestik sudah dimulakan kembali.

Thai Airways yang majoritinya dimiliki oleh Kementerian Kewangan mempunyai hutang sebanyak 92 bilion baht dengan 78 peratus merupakan hutang kepada pelabur-pelabur bond.

Para pemegang bon Thai Airways memantau rapat perincian pelan pemulihan ini. Impak ke atas keseluruhan pasaran bond bagaimanapun adalah terhad kerana kebanyakan bond Thai Air dijual kepada sejumlah pelabur kecil.

Thai Airways mencatatkan kerugian hampir setiap tahun sejak 2013. Syarikat penerbangan itu digesa untuk kembali mencatat keuntungan sebelum wabak COVID-19 lagi.

Google ads
Back to top button