Modifikasi

TOYOTA CALDINA GT4 NARUSE SPEC

Situasi di Malaysia membuatkan saya faham kenapa Toyota tidak ambil peduli sangat untuk membina kereta berprestasi tinggi buat pemandu tegar.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (2)

Lebih menguntungkan dan mudah membina kenderaan utiliti yang akan dibeli secara besar-besaran oleh agensi kerajaan dan swasta.

Namun, satu ketika dahulu Toyota membuktikan mereka sebenarnya boleh membina sebuah kereta yang radikal untuk pasaran lebih kecil. Kehadiran Toyota Caldina generasi ketiga pada tahun 2002 memberikan sesuatu yang cukup berbeza dengan apa yang Toyota hidangkan pada zaman itu.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (10)

Caldina dihasilkan sebagai kereta sports wagon sejati dengan reka bentuk yang lebih mirip kepada sebuah kereta sports berbanding wagon. Satu lagi perkara yang menarik pasal Caldina ialah Malaysia ialah negara kedua di dunia selepas Jepun dengan jualan tertinggi – walaupun Caldina tak pernah diimport secara rasmi ke Malaysia!

Salah sorang penerima Caldina dari Jepun ialah ahli Caldina Club Kelantan (CCK) yang namanya dirahsiakan. Caldina yang dipandunya bukan calang-calang, model Caldina GT4 Spec N (Naruse), spec paling tinggi untuk model Caldina. Jadi, apa istimewanya kereta ni?

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (22)

Banyak. Enjin asal 3S-GTE pun sudah diubah suai. Kepala silinder enjin telah menjalani proses port dan polish. Manakala aci sesondol asalnya kini boleh dilaras pemasaannya (timing) dengan menggunakan sepasang cam pulley boleh laras daripada Works. Kepala silinder itu dipasang semula pada blok enjin dengan selapis gasket keluli daripada Cometic di celahnya.

Melalui gasket itu, pemilik Caldina ini dapat meningkatkan boost turbo kepada 1.6 bar dengan turbin asal enjin. Dengan peningkatan boost, ada eloknya sebuah wastegate jenis external 38mm daripada Tial.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (20)

ECU asal enjin pula dikawal oleh GReddy e-Manage yang mengawal campuran minyak dan udara dengan lebih sempurna. Minyak petrol yang masuk ke dalam enjin dipam oleh sebuah pam Walbro bertekanan tinggi. Lebihan tekanan boost dari dalam paip intercooler dilepaskan ke udara melalui injap blow-off HKS SSQV.

Ruang enjin Caldina ni kemudiannya dihias dengan pelbagai aksesori yang mampu menaikkan seri ruang enjin. Terutama aksesori aluminium berkilat Beatrush dan hos silikon Samco.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (7)

Sistem penyejukan enjin tak dilupakan. Radiator asal diganti dengan radiator aluminium Forged. Untuk pelincir enjin, ia disejukkan oleh penyejuk pelincir Works. Kotak gear automatik disejukkan oleh penyejuk pelincir Hayden.

Untuk aliran gas ekzos yang lancar, enjin ni dibekalkan dengan sistem ekzos buatan custom berdiameter 2.5 inci dengan peredam bunyi Blitz Nur Spec. Ingat tadi saya ada cerita pasal boost enjin yang tinggi tu? Ok, ia dikawal oleh sebuah pengawal boost elektronik GReddy Profec B yang bekerja rapat dengan e-Manage.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (12)

Wagon ini benar-benar diubah menjadi sebuah kereta sports tulen apabila semua penyerap hentak Spec N asal diganti dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya  ZerOne.

Sistem brek dinaik taraf kepada kit brek Project S yang memberikan cengkaman brek terbaik. Berikutan kit brek ini hadir dengan kit angkup 6 pot di depan dan 4 pot di belakang. Ditambah pula dengan sistem brek ABS jenis sports yang dibekalkan untuk semua model Spec N, Caldina ini boleh dipandu macam kereta sports sejati.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (3)

Rim asal Caldina diganti dengan rim Volk Racing CE28 berdiameter 18 inci. Tayar-tayar Toyo Proxes T1R yang bersaiz 225/40ZR18 membalut rim-rim mahal dari Jepun itu.

Selepas berpuas hati dengan semua modikasi untuk prestasi, tibalah masanya untuk mekap kereta ni kasi cun. Caldina ialah antara sebahagian kecil model Toyota yang saya boleh kategorikan sebagai cantik. Jadi tak banyak yang perlu dibuat untuk membuatkan kereta ni nampak lagi lawa.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (4)

Pemiliknya tak ubah penampilan kereta ini, tetapi menggantikan bonet depan, fender depan dan lips bampar dengan aksesori gentian karbon daripada C-One.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (15)

Di bahagian dalam, aksesori pertama yang saya perasan ialah tempat duduk Recaro.  Recaro sebenarnya aksesori standard untuk versi Spec N. Papan pemukanya yang cukup futuristik itu dipenuhi dengan meter-meter Defi yang memberi bacaan boost, tekanan petrol, suhu ekzos dan suhu pelincir. Di situ juga terletak dua aksesori elektronik A’PEXi iaitu meter RSM dan turbo timer.

Toyota-Caldina-GT4-N-Spec-mekanika (16)

Sedikit mengenai Caldina ini. Tahukah anda bahawa Caldina generasi ketiga ialah Caldina terakhir, pengguna terakhir enjin 3S-GTE dan model terakhir yang dipakaikan lencana GT Four?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button