Modifikasi

TOYOTA CELICA SUPRA MA61

Ini ialah kereta yang lahir dalam zaman transisi pacuan belakang beralih ke pacuan roda depan. 

DSC_7164

Peralihan itu adalah hasil daripada idea sebuah kereta berasaskan pengedalian, bertukar fokus menjadi lebih ekonomikal. Walaupun tindakan ini dianggap bingai pada awalnya, ia akhirnya diterima sebagai satu standard dalam industri automotif sedekad kemudian.

Hari ini, hampir semua kereta menggunakan pacuan roda hadapan. Kereta mahal saja yang tinggal FR, selain lori dan bas dan van.

DSC_7165

Toyota Celica Supra MA61 boleh dikatakan jarang sekali orang ingat nak beli dan guna. Namanya pun pelik, Celica Supra. Sekali orang tanya, “Lu pakai kereta apa?”, “Celica Supra”, bunyi macam kaya sebab ada Celica dan Supra.

DSCN5828

Apabila Supra JZA80 diangkat menjadi model flagship sport tourer, ketika itulah Celica berpisah nama menjadi dua model berbeza. Sewaktu kereta ini dibina dulu, ia bertujuan menyaingi model Z keluaran Nissan yang sangat laris. Celica Supra dikenali dengan nama Celica XX di Jepun. Bagi memastikannya berdaya saing dengan Fairlady, Toyota telah melengkapkannya dengan enjin enam silinder siri M.

Bertitik-tolak dari situ, rekaannya terpaksa diubah dengan hud depan nampak panjang. Konfigurasi pacuan dan proposisi enjin juga menjadikan kereta ini lebih lebar dan panjang berbanding mana-mana kereta FR Toyota pada masa itu.

DSC_7173

Pemiliknya telah menukar enjin lama yang mula menunjukkan tanda-tanda lemau dengan enjin generasi baru 1JZ GTE. Adik kepada enjin JZA80 2JZ ini murah sikit cukai jalannya. Kuasanya juga boleh tahan sebab berat badan kereta ini hanya  sekitar 1,360kg sahaja.

Disebabkan tidak mahu ambil risiko modifikasi yang merepek, pemiliknya  membiarkan enjin dalam keadaan standard. Apa yang ditukar cuma ekzos saluran terus bersaiz tiga inci dengan peredam bunyi HKS.

DSC_7163

Transmisi R154 lima kelajuan masih boleh berkhidmat dengan cemerlang. Tak ada masalah langsung. Cuma pelapik klac ditukar baru supaya lebih mencengkam. Tuil gear diubah suai dengan set short shift custom agar penukaran gear dapat dibuat dengan lebih cepat. Suspensi pula ditukar kepada TEIN jenis boleh laras pada  keempat-empat topangnya.

DSC_7171

Rim watanabe 15X9 ni memang calon yang paling sesuai untuk kereta sekolah lama begini. Kena pula offsetnya -13 yang membuatkan roda terkeluar dari badan kereta. Masalahnya, bukan senang nak dapatkan spesifikasi begini.

Maka cara paling mudah ialah beli rim versi Rota. Rim yang dihasilkan di Filipina ini mempunyai hampir semua offset dan lebar yang pelik-pelik. Dalam erti kata lain, main kereta oldskul tak lagi susah macam dulu hingga terpaksa beli rim berkali ganda berbanding harga kereta.

DSC_7169

Masuk ke dalam ruang dalaman kereta, memang boleh rasa aura klasiknya. Cuba tengok tempat duduknya, ini sudah kira sport dan mungkin futuristik pada zamannya. Ia juga masih dalam keadaan baik. Papan instrumentasi telah dirapikan semula  dengan balutan PVC dan sterengnya pula daripada TRD.

DSC_7168

Saya tabik dengan pemilik kereta ni kerana ia jarang sekali masuk ke bengkel.  Semuanya dibuat dan direstorasi sendiri di belakang rumahnya. Kereta macam ini kena ada passion kalau nak main. Sabar dan tidaklah beli barang hari ini besok sudah nak pasang semuanya.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button