Artikel Pilihan

TOYOTA DAN DAIHATSU DI INDONESIA : BEREBUT PELANGGAN KE TAK NI?

Tidak dapat dinafikan, Selain Honda, dua jenama Jepun ini Toyota dan Daihatsu dilihat mempunyai pengaruh yang cukup kuat di Indonesia. Dia punya kuat jangan cakaplah. Dah serupa Avengers. Bergabung sana sini, menumpaskan musuh terutamanya apabila jenama China mula mencuit sedikit kek pasaran yang cukup besar.

BACA : DAIHATSU PERKENAL SIGRA DI INDONESIA – BERMULA RM34,000!

BACA : TOYOTA-DAIHATSU RAJA KATEGORI LCGC INDONESIA

Tetapi, apa yang menariknya mengenai Toyota dan Daihatsu ini, kedua-dua mereka langsung tidak kisah untuk berebutkan pelanggan dengan menawarkan produk yang serupa. Iya, serupa. Kalau beza pun, yang satu sasaran mereka lebih kepada Eksekutif Kanan, manakala yang satu lagi lebih kepada golongan Eksekutif Kiri.

Lama dahulu, Toyota dan Daihatsu telah mula berkongsi model yang sama kepada pelanggan. Toyota Rush dan juga Daihatsu Terios. Tetapi sebelum ini, sebetulnya Daihatsu telah mula menjengah pasaran dengan pengenalan model Daihatsu Taruna (Perodua Kembara di Malaysia) dengan tujuh tempat duduk.

Dan yang paling mudah untuk diingati sudah tentulah pengenalan model MPV kompak, Toyota Avanza dan juga Daihatsu Xenia. Dia punya laku untuk kedua-dua model jangan cakaplah. Bersepah. Seluruh pelusuk Indonesia amat menggemarai kedua-dua model MPV ini. Apatah lagi profil rakyat Indonesia yang rata-ratanya mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai.

Tetapi yang paling gila setakat hari ini adalah apabila Toyota dan Daihatsu sekali lagi bekerjasama apabila mereka memproduksikan Toyota Cayla dan juga Daihatsu Sigra. Malah, bukan setakat itu sahaja, majlis pelancaran juga dibuat serentak. Menyedari bahawa pasaran kenderaan tujuh tempat kategori bajet (LCGC – Low Cost Green Car) mempunyai sasaran yang terlalu besar, maka tidak hairanlah mereka berani bekerjasama.

Daihatsu Sigra ini sasarannya jelas, khusus untuk golongan bawahan tetapi mempunyai ahli keluarga yang boleh dibuat tim futsal. Maka pilihan enjin 1.0 liter turut ditawarkan selain daripada enjin 1.2 liter. Jangan ada yang bertanya boleh gerakkah MPV kerdil ini dengan kapasiti penuh tujuh penumpang? “Asalkan mobilnya tidak ngundurin ngak apa-apa pak”, jawab Ardy Wiranata sambil mengunyah tempe.

Sebetulnya ianya tidak hairan apabila sebelum pengenalan model MPV kerdil ini, strategi yang sama juga pernah diguna pakai dengan pengenalan model Toyota Agya dan juga Daihatsu Ayla. Dan kini, kerjasama pelik ini diteruskan lagi dengan pengenalan generasi terbaharu Toyota Rush dan Daihatsu Terios.

Jadinya, andai ada yang berkata bersaing sesama sendirikah mereka? Tidak. Mereka tidak bersaing. Sebetulnya dengan pakatan sebeginilah yang mampu memberikan harapan kepada Toyota dan Daihatsu dan seluruh umat Indonesia. Masing-masing ada kekuatan sendiri. Lantas menjadikan parti lain, eh silap. Menjadikan jenama yang lain, dari China khususnya tidak begitu relevan di Indonesia. Setuju?

Google ads

B K

Back to top button