Pandu Uji

TOYOTA INNOVA ZENIX, RM 23K LAGI MAHAL

Tahukah anda bahawa sekiranya semua syarikat Toyota menghantar Innova bagi memasuki pertandingan ratu cantik, penulis jamin MPV ini akan balik awal. Ya tidak dinafikan rekaan Innova Zenix ini kelihatan tidak seimbang dari segi rekaan, garisan shoulder line yang terlalu tinggi, rekaan wheel arch yang salah sehinggakan rim bersaiz 18 kelihatan kecil sahaja.

Rekaan Innova ini juga memiliki fender yang terlalu tebal dan tinggi menjadikan semua sudut pandangan nampak tidak kena. Tapi rekaan sebegini disokong dengan ruang depan dan belakang tayar yang pendek menjadikan Innova Zenix mudah untuk melalui halangan dan juga jalan yang tidak rata

Platform ini juga mempunyai jarak kelegaan permukaan bumi sehingga 185mm sedikit sebanyak membantu ketika di laluan tidak berturap. Namun Toyota tidak kedekut dengan memberikan beberapa ciri tambahan pada Innova Zenix sepertu lampu lopak air (puddle lamp), lampu kabus belakang, lampu depan LED dan DRL LED yang berada di bawah serta kelihatan seperti aksesori yang baru ditambah

Innova Zenix dikuasakan dengan enjin serba baru iaitu enjin M20A FKS Dynamic Force 4 silinder 2000cc yang menjana sehingga 172 kuasa kuda dan 205Nm tork. Enjin ini lebih berkuasa dan cekap berbanding dengan enjin yang lama dengan nisbah mampatan dinaikkan sehingga 13:1 serta penggunaan sistem suntikan bahan api D4-S.

Untuk rekod enjin lama 4 silinder dual-VVTi hanya menghasilkan sekitar 137 kuasa kuda dan 183Nm tork sahaja serta digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik. Enjin baru pula ditawarkan dengan transmisi Direct Shift CVT 10 kelajuan yang lebih efisyen dan berkuasa.

Innova Zenix juga turut menggunakan platform serba baru TNGA-C yang turut dikongsi dengan Toyota Corolla Sedan, Corolla Cross, Prius dan juga MPV Voxy. Dari segi dimensi, Innova Zenix datang dengan panjang 4760mm dan lebar 1890mm. Jarak antara roda juga bertambah 100mm menjadi 2850mm

Menjengah ke ruang depan pemandu juga bakal membuatkan penulis mengerutkan dahi, terutama selepas meneliti rekaan tombol gear yang bersambung terus dengan papan pemuka pada sudut 45 darjah.

Nampak sedikit janggal tapi rekaan sebegini menawarkan ergonomik yang bagus. Cuma penulis lebih suka tombol gear berada di bawah dan dipasang secara mendatar. Butang brek parkir elektrik dan ciri AutoHold disediakan di tepi tombol gear.

Aspek kedua yang boleh dipuji ialah kualiti kemasan dalaman yang kemas serta jarak antara komponen yang dipasang nampak sekata. Pemandu diberikan skrin pelbagai maklumat dengan saiz 7 inci manakala skrin multimedia 10 inci menawarkan sambungan Apple Car Play dan Android Auto

Berikut ialah ciri-ciri tambahan yang ditawarkan pada Innova Zenix adalah:

1. 4 poin USB di barisan pertama dan kedua. Satu lagi pengecas tanpa wayar disimpan di dalam perehat tangan depan. 2 soket 12 volt turut diberikan di barisan pertama dan ketiga

2. Corong penyaman udara di barisan kedua dan ketiga yang dipasang di bahagian bumbung. Penumpang barisan kedua boleh mengawal suhu dan kelajuan kipas penyaman udara dengan menggunakan suis kawalan berasingan

3. Ruang kargo adalah sebesar 239 liter dan boleh dibesarkan menjadi kepada 690 liter sekiranya kusyen barisan ketiga dilipat secara 50:50. Ruang belakang juga boleh diakses melalui pitu ruang kargo berkuasa elektrik

4. Bagi varian petrol, anda boleh meletakkan kasut atau kaki anda di bawah kusyen penumpang depan untuk ruang kaki yang lebih luas. Dengan rekaan cesi monocoque serta jarak antara roda yang dipanjangkan, lantai barisan kedua menjadi lebih rata dan luas.

5. Lampu kabin yang berwarna biru dipasang di bahagian atas barisan ke dua dan juga di papan pemuka barisan pertama bagi menjadikan suasana kabin pada waktu malam lebih menarik

Berikut ialah pemerhatian penulis terhadapa kualiti pemanduan Innova Zenix hasil gabungan penggunaan platform TNGA, enjin M20A FKS serta transmisi Direct Shift CVT:

6. Pecutan Innova Zenix terasa lebih bertenaga berbanding dengan model lama disebabkan berat keseluruhan menjadi lebih ringan sebanyak 140kg hasil penggunaan platform yang baru.

7. Ia juga disokong dengan enjin yang lebih berkuasa dan tidak meraung pada waktu pagi ketika dihidupkan. Penukaran gear adalah lebih lancar menjadikan operasi enjin lebih tenang pada 110km/jam dengan bacaan sekitar 2000 RPM sahaja.

Hasilnya Innova Zenix memberikan purata sekitar 13km/liter petrol dan boleh menjadi lebih baik selepas 10,000km perjalanan

8. Tindak balas cesi terutama selepas menerima input stering juga adalah jauh lebih baik berbanding dengan model lama yang masih dirasakan seperti memandu sebuah lori kecil. Anda masih boleh mengambil selekoh dengan yakin dan bermain dengan paddle shifter bagi mengawal gear dengan 10 kelajuan maya.

Innova Zenix juga lebih stabil di laluan lurus, tidak mudah beroleng ketika melalui jalan berselekoh ataupun jalan tidak rata, terasa lebih tenang dan kurang pergerakan cesi dari kiri dan kanan. Pada halaju 110km/jam, bunyi yang dihasilkan adalah sekitar 67dB sahaja.

Dalam aspek keselamatan, Innoza Zenix ditawarkan dengan semua ciri Toyota Safety Sense yang merangkumi kamera 360 darjah, sistem pengawasan tekanan tayar dan juga sistem pengecaman papan tanda jalanraya.

Penulis juga mendapati sistem pemanduan automatik adaptif beroperasi dengan lancar sama seperti yang digunakan oleh Toyota Camry. Cuma sayangnya ia tidak menawarkan ciri lampu depan adaptif yang sama digunakan oleh model Veloz.

Jika anda rasakan model ini terlalu mahal pada RM 165,000 atau RM 23,000 lebih mahal berbanding dengan Toyota Innova 2.0X, maka pada pendapat penulis ia adalah kenaikan yang adil memandangkan Innova Zenix jauh lebih baik dalam segala aspek.

Cuma sayangnya dalam kategori MPV People Carrier, peningkatan harga menjadikan pilihan MPV mampu milik semakin kurang. Mungkin atas dasar inilah Toyota masih mengekalkan jualan Toyota Innova 2.0X dan juga 2.0G

Tapi kalau anda semak model lain seperti Vellfire dan Alphard yang baru bukannya unit terpakai, mungkin anda akan pengsan berdiri serta terus bersetuju harga RM 165,000 adalah lebih sedap didengar. Cuma pada pendapat penulis, Toyota wajar menaikkan gaji jururekabentuk luar Innova Zenix sebagai pemangkin untuk menghasilkan rekaan yang lebih bergaya.

Google ads
"
"
Back to top button