
‘HONDA RED’ IALAH WARNA RASMI HONDA – BUKAN BANGSA H MINAT WARNA PUTIH KE?
Honda meraikan ulang tahun ke 75 syarikat mereka pada tahun ini. Jadi sebagai meraikannya mereka turut menawarkan pencil istimewa yang diwarnakan dengan warna korporat rasmi Honda, Honda Red. Ia merupakan warna sama yang digunakan pada logo produk keluaran mereka dari kereta, motosikal sehinggalah ke mesin pemotong rumput. Namun tak ramai yang tahu Soichiro Honda terpaksa berjuang untuk mendapat hak untuk menggunakan warna merah tersebut.

Honda sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dengan warna merah. Pada tahun 1952 mereka telah melancarkan Cub Type F yang sebenarnya merupakan sebuah enjin yang boleh dipasang secara retrofit pada sebuah basikal. Basikal kena beli sendiri kerana Honda cuma membekalkan enjin, tangki minyak dan kelengkapan khas untuk memasangnya.
Untuk memudahkan enjin tersebut dikenali ramai, Honda mengecat enjin tersebut dengan warna merah terang dan tangki minyak pula dengan warna putih. Ia menjadikan enjin keluaran Honda tersebut mudah dikenali walaupun dalam kesibukan trafik.

Ikatan Honda dengan warna merah semakin kuat bila mereka memperkenalkan jentera pembajak pertama mereka pada tahun 1959. Ya, ia juga datang dengan warna merah terang menjadikannya jauh berbeza berbanding peralatan ladang lain. Ia dinamakan F150 dan membawa revolusi baharu dalam dunia pertanian.
Kebanyakan jentera pertanian ketika itu sangat berat, sarat dengan pelbagai jenis tali sawat dan takal. Sebagai perbandingan mudah, F150 adalah sebuah hasil seni. Honda menutup bahagian komponen merbahaya dengan panel badan, mudah dihidupkan dengan bar hendal yang ergonomic selain penyerap hentak untuk mengurangkan gegaran. Ia juga boleh digunakan untuk menunda beban dan jauh lebih murah berbanding traktor sebenar.
Menjelang tahun 1960, Honda mula berhasrat untuk menghasilkan kereta pertama mereka. Kerajaan Jepun ketika itu melancarkan program insentif Kereta Rakyat melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan syarat ia mesti sebuah Kei Car dengan kuasa tidak melebihi 360cc. kebanyakan syarikat lain berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta keluarga tapi Soichiro Honda memilih kereta sports.

Hasilnya lahirlah model konsep S360 yang merupakan nenek moyang kepada S500, S600, S800 dan S2000. Model konsep asal telah hilang tapi Honda telah menghasilkan replika S360 asal pada tahun 2013 dan mewarnakannya dengan cat merah-jingga.
Semasa Soichiro melihat model konsep asal beliau terus berhasrat untuk mengeluarkan dengan warna merah terang. Nampak macam senang bukan untuk membuat keputusan. Hakikatnya tidak semudah itu kerana undang-undang Jepun pada masa itu menetapkan hanya kenderaan kecemasan seperti ambulan dan bomba boleh dicat dengan warna merah.
Soichiro tidak mengalah dan menghantar salah seorang pengurus bahagian R&D Honda ke MITI untuk mendapatkan hak menggunakan warna merah pada kereta pertama mereka. Mereka dipandang rendah pada peringkat awal kerana R&D Honda belum dikenali ramai ketika itu.

Honda juga kesuntukan masa kerana MITI menutup pintu industri automotif kepada mana-mana syarikat yang belum menghasilkan kereta. Toyota dan Nissan tidak mempunyai sebarang masalah tapi Honda cuma dikenali sebagai syarikat pengeluar motosikal dan belum menghasilkan walau sebuah kereta.
Soichiro dengan berani berjuang untuk mendapatkan hak beliau untuk memasarkan kereta dengan warna yang diingini beliau. Beliau tampil membuat kritikan terhadap undang-undang sedia ada dalam media dan menulis sendiri kritikan beliau yang disiarkan dalam Asahi Shimbun, sebuah akhbar ternama ketika itu.
Menurut Soichiro warna merah merupakan warna asas dalam rekaan dan mempersoalkan kepada ia dilarang penggunaannya oleh undang-undang. Malah tidak ada negara membangun di dunia ini yang memonopoli penggunaan warna seperti berlaku di Jepun.

Mungkin atas kritikan Soichiro ataupun ada sebab lain, Honda akhirnya dibenarkan menggunakan warna merah pada kereta keluaran mereka. Respon Soichiro? “Oh, baguslah”. Punyalah sempoi mamat Jepun ni.
Pada tahun 1960 Honda merupakan sebuah syarikat kecil berbanding Toyota dan Nissan yang bersaiz gergasi tapi mereka berani mencabar MITI untuk mendapatkan hak penggunaan warna diimpikan.
Jadi jangan kerek sangat wahai pemilik Toyota 2000GT Solar Red dan GT Red Hakosuka. Korang boleh dapat kereta dengan warna merah atas usaha founder bangsa H, Soichiro Honda.
Kredit japanesenostalgiccars.com









