Buletin

TOYOTA PATENKAN TIANG-A YANG BOLEH TEMBUS PANDANG

Peminat kereta sebenarnya sama sahaja dengan peminat motosikal, pada hari yang baik dan mood yang baik, kita akan melayan selekoh jika jalan tersebut cukup menarik dan tidak sibuk dengan kenderaan. Masalahnya berbeza daripada motosikal, kereta mempunyai beberapa halangan penglihatan contohnya pada tiang-A kereta.

Masalah lebih ketara jika kita memandu kereta sport dengan sudut cermin hadapan yang lebih condong, kalau bawak Kancil okey lagi. Tiang-A ini pula datang dalam bermacam-macam saiz, bagi kereta moden dan mewah memang besar betul saiznya dan sememangnya akan menjadi halangan pada penglihatan pemandu.

Kini Toyota mungkin ada penyelesaiannya kerana mereka telah berjaya mempatenkan tiang-A generasi baru yang tembus pandang. Ini bermakna anda boleh melihat terus melalui tiang-A tanpa halangan seperti cermin tingkap. Paten tersebut dinamakan “Apparatuses and Methods for Making an Object Appear Transparent”. Ia bertindak menggunakan titik-buta (blindspot) menggunakan cermin-cermin khas untuk membolehkan biasa imej dilakukan membuatkan tiang-A seperti dihasilkan daripada kaca jernih.

Bunyinya agak senang tetapi bentuk sebenar sistem ini belum lagi dijelaskan. Jika dirujuk pada lakaran yang disertakan ia seolah-olah kita memang boleh melihat melalui tiang-A sekaligus menghilangkan satu titik-buta pada kereta.

Jika idea ini berjaya, ia bukan hanya boleh diaplikasikan pada tiang-A tetapi pada mana-mana tiang pada sebuah kenderaan. Ia akan meningkatkan lagi aspek keselamatan sewaktu memandu.

BACA: BOSCH PERKUKUHKAN LAGI PENGUASAAN DI MALAYSIA

Ini bukan cubaan pertama untuk mengatasi masalah titik-buta pada kenderaan tetapi ia dijangka menjadi penyelesaian yang jauh lebih murah berbanding menggunakan pelbagai sensor dan kamera video yang komplikated seperti yang digunakan oleh model-model premium pada masa sekarang. Malah jika Toyota berjaya menghilangkan masalah titik-buta pada tiang-A dengan cara ini, para pereka boleh berkerja dengan lebih bebas dalam mengukuhkan lagi struktur casis kenderaan rekaan mereka.

Mereka boleh berkerja tanpa memikirkan saiz ataupun posisi tiang-tiang tersebut. Malah mungkin rekaan bumbung juga akan menjadi semakin menarik. Ini kerana teknologi ini akan membolehkan kita mengetahui apa yang ada di sebalik selekoh seterusnya dengan penglihatan yang tidak terhalang. Cuma kalau anda kaki modified kereta dan suka meletakkan meter-meter tambahan pada tiang-A memang tak boleh buat apalah.

Google ads
Back to top button