Artikel Pilihan

PENEMUAN TERHEBAT TAHUN INI – SATU-SATUNYA FERRARI 365 GTB/4 DAYTONA

Bayangkan datuk korang ada sebuah bangsal lama yang sudah lama terbiar. Suatu hari bila dan bosan tak tahu tak buat apa korang pergi selongkar bangsal tu dan menemui sebuah Volkswagen Kombi yang masih lengkap, best tak? Abang selalu berangan macam tu tapi tak pernah pun jadi kenyataan. Tapi cerita ini betul, sebuah Ferrari 365 GTB/4 Daytona telah ditemui dalam sebuah bangsal di Jepun dalam keadaan lengkap tetapi sudah lama terbiar.

Apa yang istimewanya pasal Ferrari ni, bukan ada banyak ke model ni? Betul dan salah. Ferrari yang ditemui itu juga dikenali dengan nama Ferrari Daytona. Dan yang merupakan model ke 30 dihasilkan dan istimewanya inilah satu-satu Ferrari model ini yang dihasilkan daripada aluminium lengkap dengan lampu utama Plexiglas dan cermin tingkap berkuasa. Ferrari memang ada membuat sekitar 5 lagi unit kereta ini dengan badan aluminium tetapi itu semuanya untuk kegunaan perlumbaan. Hanya satu ini sahaja didaftarkan untuk kegunaan di jalan raya.

Okey, macam mana kereta ni boleh sampai ke Jepun? Pada awalnya kereta ini telah dijual kepada Luciano Conti, sahabat Enzo Ferrari yang juga pemilik majalah permotoran Autosprint. Beliau kemudian membuat keuntungan dengan menjual kereta ini kepada seorang kenalan di Verona walaupun baru sahaja memiliki kereta ini selama sebulan.

BACA: LELAKI INI PANDU FERRARI SETIAP HARI DI BANDAR PALING SESAK – BANGKOK

Pada bulan Julai 1971, nombor pendaftaran Itali kereta ini telah dibatalkan dan ia dieksport ke Jepun oleh sebuah syarikat menjual kereta. Selama sembilan tahun di Jepun ia telah mempunyai dua pemilik sebelum akhirnya dimiliki oleh Makoto Takai, pemilik terakhirnya. Beliau telah menyorokkan Ferrari ini selama 40 tahun dan menolak tawaran sesiapa yang mengetahui tentang kewujudan kereta ini untuk membelinya. Akhirnya kini ia ditemui dengan anggaran harga RM8.5 juta. Itu dalam keadaan sedia ada (as is where is), untuk proses restorasi mahu meningkat lagi sekali ganda).

Kereta ini akan dilelong oleh RM Sotheby’s pada satu lelongan istimewa Ferrrari di Maranello pada 9 September ini di mana ia akan dilelong bersama-sama dengan LaFerrari Aperta. Ia akan dijual dalam keadaan semasa ia ditemui dengan odometer mencatatkan bacaan 36,390 kilometer yang dipercayai tepat. Malah pakar Ferrari mengesahkan yang nombor siri casis, kotak gear dan enjin semuanya masih original (orikereta). Ia juga masih mempunyai kotak peralatan asalnya yang lengkap dengan tukul untuk memasang/mengeluarkan nat tayar.

Kalau kat kampung korang ada bangsal-bangsal lama, rajin-rajinlah selongkar kot-kot ada Mini Cooper lama kalau tak pun Volkswagen lama. Tapi hati-hati jangan sampai terjumpa ular tedung selar yang baru nak melepak.

GALERI:

Google ads
Back to top button