Motosikal

TRIUMPH TIGER 1200 RASMI DILANCARKAN. 150PS, GT PRO DAN RALLY EXPLORER, BERMULA RM116K

Fast Bike yang merupakan pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi motosikal adventure Tiger 1200 ke pasaran Malaysia.

Ditawarkan dalam dua varian iaitu GT Pro dan Rally Explorer, ia dibangunkan sepenuhnya untuk menjadi jentera paling lincah dan berkuasa buat peminat motosikal.

Tiger 1200 yang diimport dari Thailand itu kini 25kg lebih ringan berbanding model terdahulu dan 17 lebih ringan daripada pesaing terdekatnya. Transformasi tersebut disempurnakan lagi dengan sistem pacuan shaft ringan dan mudah diselenggara berbanding pacuan menggunakan rantai.

Hasilnya, Tiger GT Pro kini adalah seberat 245kg, manakala Tiger Rally Explorer seberat 261kg.

Motosikal berkenaan dikuasakan oleh enjin T-plane triple baharu bersesaran 1160cc tiga silinder yang mampu menjana 150PS pada 9,000rpm dan tork 130Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Penunggang GT Pro boleh memilih lima mode tunggangan iaitu Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road. Manakala varian Rally Explorer ditambah dengan satu lagi mode iaitu Off-Road Pro.

Untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan, ciri quickshifter didatangkan sebagai standard.

Perbezaan di antara kedua-dua varian itu cukup ketara. Perkara pertama yang boleh dilihat ialah pada rim. GT Pro dipasang dengan rim aluminium bersaiz 19 inci di hadapan 18 di belakang yang dibalut oleh tayar untuk kegunaan jalan biasa.

Varian Rally Explorer pula menggunakan rim lidi bersaiz 21 inci (depan) dan 18 inci di belakang. Rim tersebut dibalut dengan tayar tanpa tiub dual purpose. Tangki minyak juga lebih besar iaitu 30 liter berbanding 20 liter pada GT Pro.

Pengendalian mantap Tiger 1200 disumbang oleh suspensi elektronik semi aktif Showa dengan jarak gerak berbeza iaitu 200mm untuk GT Pro dan 220mm (Rally Explorer).

Tayar hadapan menggunakan fork USD 49mm dengan tayar belakang dipadankan bersama suspensi monoshock.

Sebagai model berprestasi tinggi, Triumph melengkapkan Tiger 1200 dengan sistem brek Brembo Stylema bersama cakera bersaiz 320mm. Roda belakang dipasang dengan brek angkup tunggal Brembo 282mm.  

Jika berminat GT Pro boleh anda miliki pada harga RM115,900 seunit. Manakala Rally Pro berharga RM130,900 dan penambahan sebanyak RM1,000 untuk warna hijau (matte khaki green).

GALERI

Google ads
Back to top button