
TRIUMPH TIGER SPORT 660 RASMI DILANCARKAN. 81PS, 2 MODE TUNGGANGAN, BERMULA RM49,900 SEUNIT
Triumph Motorcycles Malaysia sekali lagi mengujakan peminat motosikal adventure berkapasiti enjin sederhana apabila memperkenalkan model Tiger Sport 660 ke pasaran tempatan.
Penawaran itu nyata melengkapkan lagi barisan model Tiger sebelum ini seperti Tiger 850 Sport, Tiger 900 Range dan terbaharu, Tiger 1200.
Ketua Pegawai Eskutif Fast Bikes Sdn. Bhd., Dato’ Razak Al-Malique memberitahu model-model baharu tersebut menawarkan gabungan terbaik dari segi prestasi, kelengkapan dan nilai.

Tiger Sport 660 dikuasakan oleh enjin tiga silinder 660cc yang pertama dalam kategorinya. Enjin yang turut dipasang pada model Trident itu menawarkan kuasa mencecah 81PS dan tork 64Nm. Pengurusan kuasa dikendalikan oleh sistem pendikit ride-by-wire untuk memberikan maklum balas yang tepat dan responsif.
Manakala nisbah gear transmisi enam kelajuan dioptimumkan untuk keseronokan menunggang dan kegunaan harian. Dengan julat tork yang luas, kuasa luar biasa dan kapasiti tangki minyak 17 liter, inilah jentera adventure yang ingin anda tunggang setiap hari.
Jentera itu hadir dengan dua mode tunggangan iaitu Road dan Rain yang mengubah respons pendikit dan tetapan kawalan cengkaman. Sebagai sebuah Triumph, anda boleh mengharapkan pengendalian yang mantap dan dinamik.

Aspek tersebut banyak dibantu oleh penggunaan katrij fork jenis USD 41mm Showa di hadapan yang menawarkan jarak travel 150mm dan monoshock Showa di belakang.
Jentera itu menggunakan rim lima jejari bersaiz 17 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Road 5 untuk prestasi terbaik di atas permukaan jalan kering atau basah. Tugas membrek pula diserahkan kepada brek Nissin dua omboh dengan cakera berkembar 310mm di depan.
Tiger Sport 660 dilengkapi kemudahan lain seperti meter TFT, sistem lampu LED, brek ABS, klac slip & assist, immobilizer dan skrin hadapan boleh laras.

Bagi meraikan ulangtahun ke-10 operasi Triumph Motorcycles Malaysia, pembeli Tiger Sport 660 akan ditawarkan dengan pakej early bird yang membolehkan mereka memilih aksesori tambahan. Antara aksesori tersebut ialah Triumph Connectivity Module, pelana rendah, kit pelindung kerangka, fork, hand guards, pad tangki dan kit pengecas USB.
Motosikal adventure ini didatangkan dalam tiga warna bersama grafik menarik iaitu biru/hitam, graphite dan hitam pada harga bermula RM49,900. Manakala warna merah dan graphite berharga RM50,900 seunit (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan yuran pendaftaran).
- BACA: TRIUMPH PERKENAL TIGER 900. 6 VARIAN, HARGA BERMULA RM63,900 SEUNIT
- BACA: MAHU MOTOSIKAL ADVENTURE? TRIUMPH ADA 6 PILIHAN TIGER 800 2018 UNTUK ANDA – BERMULA RM56,900
- BACA: PENGENALAN MOTOSIKAL PERTAMA TRIUMPH-BAJAJ DITANGGUH SEHINGGA 2023
- BACA: TRIUMPH ROCKET 3 2020. ENJIN 2,500cc, BERMULA RM131K DAN SUDAH HABIS DIJUAL!
GALERI















